Isnin, 24 Januari 2011

MENGGADAI cinta buta!


kata teman, cinta itu perasaan indah yang buta. ya, dia mahu aku mengerti cinta lelaki terhadap si perempuan adalah dalam jaringan perasaan yang tidak diduga atau dikesan ke mana akhirnya.  lalu, banyak anak muda atau remaja membiarkan perasaannya bebas menjalar dan melayang mencari dahan untuk menempel.  kata teman, biarkan saja ke mana cinta itu berlabuh.  itulah yang dinamakan keindahan cinta duniawi!  aku belajar mengerti, dan pasrah seketika.
anak muda, anak mentah, anak diselubungi perasaan.  kebanyakan anak muda tidak menduga jauh-jauh ke mana laluan percintaan.  mereka hanya membayangkan jalan indah dipagar bunga-bunga rindu!  selain itu yang pintar sedikit akan berkhayal tentang masa depan, mereka mula mencipta bait puisi pertemuan dan perkongsian hidup, yang semata-mata bermodalkan cinta dan rindu.  kata mereka, itulah sebaik-baik perasaan bahagia anak manusia!
kalian anak muda tidak tahu apa-apa pemikiran marslow yang betah dalam dunia pengurusan hidup.  yang megah dengan pengurusan juga tidak sudi meminjamkan pemikiran marslow kepada anak-anak muda yang ranum menganyam rindu.  Jika impian pertama orang muda untuk bahagia ialah cantuman perasaan suka dan rindu, maka setelah itu apa?  banyak yang gagal menerobos kemungkinan selepas itu. nah, aku katakan yang buta menemukan jalan sesudah cinta dan rindu bakal tercengang-cengang di tengah jalan.
selepas berindu-rinduan, kalian mahukan kebetahan hidup.  kalian mahu betah hidup dengan kenderaan, rumah, sandang dan pangan.  nah, waktu itu, cinta rindu sudah menduduki tangga kedua corot!  saat itu, tanpa kebetahan hidup bersosial dan ekonomi, kalian anak  muda bakal memulakan episod kedua: perang dingin!
maka, saat kalian mahu mengumbarkan rasa cinta dan rindu, telusurilah jalan-jalan selepas perasaan menggila anak muda.  cubalah sedikit bersabar untuk menyusun jalan-jalan indah mengharungi rasa cinta rindu yang berlandaskan ke****han hidup mendatang. aku memasang sejuta curiga rasa cinta polos tanpa dibarengi impian masa depan dalam ekonomi, sosial dan politik juga.
hai anak muda, mengapa yang bercinta 7 tahun akhirnya berantakan setelah 7 purnama bergelar suami-isteri? jawabnya, kegagalan meneropong jauh langkah kedua setelah cinta yang dikatakan buta itu!

Rabu, 19 Januari 2011

JAMINAN keamanan terhadap agama lain.

PERAYAAN dalam agama Hindu, Thaipusam.  Sebagai penduduk Selangor dan pernah tinggal di kawasan batu Caves, saya faham keadaan di sekitar kuil atas bukit itu.  Saban tahun semasa perayaan Tahaipusam, keadaan di sana luar biasa: sesak di jalan raya dan masalah kekotoran sampah sarap!  Tulisan pendek ini bukan untuk mengasut orang membenci mereka yang terlibat dalam perayaan itu.


Saya terus membayangkan semua orang Melayu  dan Islam di Malaysia khasnya yang sering terkesan kerana Thaipusam tidak akan membuat aduan dan bantahan yang mencetuskan rasa tidak senang penganut Hindu.  Kesesakan di jalan kerana acara agama itu turut difahami dengan sabar oleh muslim.

Di sebelah kuil batu Caves ada sebuah masjid yang terus melaungkan azan saban lima waktu.  Acara di kuil terus berjalan tanpa ada apa-apa ancaman mana-mana pihak.  Ini merupakan proses pemelajaran silang budaya antar kaum.  Kita kena belajar mengerti  dan bersabar untuk memberi ruang pihak lain melunaskan kepercayaannya.

Namun sebagai muslim, ruang berdakwah menyampaikan ajaran Islam terus berjalan dengan penuh hikmah dan beradab.

Selasa, 18 Januari 2011

APA masalah berBOS perempuan?

YA, di universiti siswi lebih berlambak berbanding lelaki.  Kelak mereka mengisi ruang kejaya pengurusan. Maka bersedialah kaum perempuan lebih banyak menjadi bos berbanding lelaki.  Saya tidak mahu mengajak orang lain curiga hanya kerana jantina.


Saya mahu curiga jika yang menjadi bos ialah orang yang berjiwa perempuan. Mestilah dia perempuan atau lelaki berjiwa perempuan.  Mengapa begitu?  Ya, sebagai ketua atau yang berkedudukan tinggi dalam organisasi, dia ada kuasa, ada pengaruh. Masalah utamanya, tidak banyak orang perempuan dapat meninggalkan dunia perempuannya dalam kerjaya pengurusan.  Dia masih membawa karektor perempuan yang membosankan pemikiran lelaki.

Berapa banyak yang sedar bahawa kumpulan lelaki bekerja secara team, tetapi kumpulan perempuan bekerja secara klik!  Berapa banyak lelaki dapat terus aman apabila perkara remeh-temeh dimesyuaratkan berjam-jam?  Berapa lama lagi orang lelaki mesti dijadikan spesis penakut untuk memenuhi ruang pemikiran bos-bos perempuan yang memang berjiwa penakut?

merokok jadi hak asasi?

APABILA seorang blogger muda membela perokok untuk mendapatkan hak asasinya sebagai perokok, saya pun nak melawan dia. Dia kata selama ini perokok ditindas dan meminta kaki rokok itu berbuat sesuatu. Entah, tidak pula dibayangkan apa yang sepatutnya dilakukan oleh perokok.  Mungkin saja menubuhkan persatuan perokok, berdemontrasi meminta dikurangkan primium insurans hayatnya atau meminta kerajaan menambah dana rawatan di hospital untuk mereka!


Kalau ditanya minda saya, tiada kompromi untuk perokok.  Dunia lebih selesa tanpa asap rokok.  Saya terkejut beruk melihat sebuah bilik merokok di sebuah pusat mainan bowling di Kuantan.  Bilik yang kecil, dihuni oleh empat atau lima perokok dengan asapnya penuh dalam bilik itu.  Saya nampak sebab bilik itu dibuat daripada kaca.  Ya Allah, hanya orang tolol duduk dalam bilik itu!  Mengapa mereka tidak duduk saja dalam kandang lembu, bukankah sama kotor?

Selasa, 11 Januari 2011

SI Dungu berlakon membaca Interlok


SAYA menyudahkan bacaan novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein pada pertengahan bulan Disember 2010, berlawan habis baca dengan puteri saya yang akan menduduki SPM pada tahun ini. Setelah selesai membacanya, barulah terdengar berita  ada puak-puak dalam negara yang mengatakan Interlok itu dan ini.

Kini tidak sudah lagi debat novel ini. Perkara yang mudah dan kecil apabila ditafsir salah oleh orang yang mengambil kepentingan akan menjadi serabut juga.  Orang yang marahkan Interlok, rasanya tidak tahu apa-apa bab sastera atau karya kreatif. Cuba baca petikan di bawah (saya salin daripada rencana di Malaysiakini).  Apa masalah kepada kaum India?

Mereka marah apa? Kerana dikatakan semua penghijrah dari India berkasta paria yang dikatakan status paling bawah? Atau kerana Abdullah Hussein menyamakan orang dari India berasak-asak dalam kapal seperti kambing?  Cuba yang marahkan novel itu sebutkan satu ayat demi satu ayat yang dikatakan memberi wajah buruk kepada kaumnya. Sebutlah, biar kita nilai sama-sama. Peh, saya yakin kutu-kutu yang membakar novel itu tak akan berani melakukan apa yang saya sarankan.  Sebabnya apa? Mereka bukan kaki baca novel!

Jangan lupa, sebelum ini ada orang India membawa peribahasa ‘keling mabuk todi’ yang terdapat dalam Kamud Dewan ke mahkamah.  Akhirnya mahkamah memenangkan DBP yang menerbitkan Kamus Dewan itu.

Di dalam kapal ini dia tidak susah. Sebahagaian besar daripada penumpang dekyang bersama-samanya itu dapat bercakap dalam satu bahasa sahaja, bahasa Tamil. Mereka yang dari arah utara sedikitbercakap bahasa Malayalam atau Telugu, tetapi hampir semuanya tahu bahasa Tamil. Malayalam dan Telugupun berasal dari satu rumpun bahasa Dravidia. Satu perkara besar membuatkan mereka senang bergaul adalah kerana mereka tergolong dalam satu kasta Paria. Mereka tidak perlu takut akan mengotori sesiapa kalau bersentuhan. Mereka juga bebas bergaul. Tempat di dalam kapal itu tidak teratur.Mereka berasak-asak seperti kambing. (halaman 211)

Di sini, pekerjaan yang membezakan kasta tidak ada. (halaman 216)

Dia gembira hidup di negeri ini kerana untuk pertama kali dalam hidupnya dia berasa dirinya sebagai manusia seperti orang lain. (halaman 218)

Dia boleh membeli barang daripada penjaja dengan memberikan wang dari tangan ke tangan; tidak seperti di negaranya, dia mesti meletakkan wang itu di suatu tempat dan penjaja itu akan menyiram wang itu dengan air sebelum diambil dan dimasukkan ke dalam petinya. (halaman 219)

Dia boleh membeli barang daripada penjaja dengan memberikan wang dari tangan ke tangan; tidak seperti di negaranya, dia mesti meletakkan wang itu di suatu tempat dan penjaja itu akan menyiram wang itu dengan air sebelum diambil dan dimasukkan ke dalam petinya. (halaman 219)

Rabu, 5 Januari 2011

INI bukan zaman feudal, mahu bunuh pengkritik raja!


BUNUH PENGKRITIK SULTAN, SATU CADANGAN YANG HINA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Seorang YB dan NGOs tertentu mencadangkan agar pengkritik sultan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Walaupun ada kaitan dengan politik kepartian tertentu -itu bukan urusan saya- tetapi saya ingin mengulas cadangan ini di sudut hukum Islam seperti berikut;

1. Cadangan ini sebenarnya lebih hina dan besar dosanya daripada menggalakkan pemerintah berzina, atau berjudi atau minum arak atau kesemua maksiat yang lain. Ini kerana, nyawa dalam Islam amat berharga dan haram ditumpahkan tanpa sebab yang sah. Cadangan ini bererti menggalakkan pemerintah membunuh orang tanpa sebab yang diizinkan oleh Allah dan Rasul. Dosa membunuh dalam Islam lebih besar dari dosa zina, arak, judi dan lain-lain.

2. Sultan bukanlah nabi yang maksum sehingga tidak boleh dikritik. Kepercayaan sesetengah pihak bahawa haram mengkritik atau berbeza pendapat dengan sultan seakan menyamakan kedudukan sultan dan raja melayu dengan para nabi a.s. Sedang para al-khulafa al-rasyidin iaitu Abu Bakr, Umar, Uthman dan ‘Ali yang jauh lebih mulia dari sultan-sultan pun dikritik dan dibantah oleh rakyat mereka. Namun mereka menjawab dengan penuh amanah, wibawa dan mereka tidak membunuh pengkritik mereka. Bahkan berterima kasih.

Demi Allah! Debu yang berada di hidung kuda para sahabat nabi s.a.w yang berjuang bersama Nabi s.a.w lebih mulia dari kebanyakan sultan atau raja yang ada dalam dunia ini. Sahabat Nabi s.a.w tidak pernah menggesa agar dibunuh pengkritik mereka. Bahkan dalam Sirah, ada beberapa kejadian yang sahabat tidak bersetuju dengan cadangan Nabi s.a.w dan membantah baginda seperti yang berlaku kepada ‘Umar r.a ketika perjanjian Hudaibiyyah, pun Nabi s.a.w tidak membunuh beliau.

3. Pada saya, pencadang hukuman tersebut; adalah pengampu yang melebihi had. Jika dia muslim, dia seorang yang ‘kering perasaan’ dan tidak takutkan Allah mengenai ‘darah orang lain’. Mungkin dia berhujah dengan undang-undang yang dia fahami sehingga dia lupa syariat Allah yang Maha Tinggi yang mengharamkan ditumpah darah dan nyawa manusia tanpa sebab yang sah di sisi syarak. Wajib dia bertaubat dan menarik balik cadangan tersebut.

Selasa, 4 Januari 2011

TERUKNYA pemikir politik


TIDAKKAH penat berfikir begitu yang tidak ada kesudahannya?  Malangnya cara pemikiran itu ada pengekor dan pewarisnya.

Seingat saya antara orang yang paling berpeluh kerana hendak melihat mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir dibicarakan atas tuduhan rasuah ialah Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman.  Sebaik saja tamat PRU 1999, dia menerbitkan bahan terbitan berkala ‘MEMO’ entah berapa siri yang menyatakan kesalahan-kesalahan urus tadbir Dr Khir.

Selepas itu pelbagai lagi serangan politik terhadap Dr Khir dengan harapan beliau akan didakwa dan dihukum.

Nah, apbila Dr Khir didakwa di mahkamah atas tuduhan salah laku rasuah, musuh politiknya mencari alasan baru pula untuk meneruskan tidak puas hatinya:  dakwa sebagai lakonan saja!

Begitulah, apabila  pemikiran sudah negatif kepada satu pihak, maka segala-galanya akan dilihat sebagai negatif juga.  Apa-apa yang berlaku terhadap pihaknya, jika tuduhannya seperti yang dirasai oleh Dr Khir maka akan dikatakan pula konspirasi politik.  Tuduhan untuk menjatuhkan kerjaya politiknya.

Ohooo, sebenarnya di balik itu pun sama.  Orang-orang politik sebenarnya tidak membangunkan minda, malah meracun ketulusan minda anak-anak muda.  Kasihan, mereka tidak menemui satu noktah yang diperjuangkan.  Dari muda sampai kepala botak dan umur tua renta pun masih berfikir begitu.  Yang berpihak dirinya betul, yang memusuhi dirinya salah!  Itulah ayat pusaka untuk generasi muda mereka.