Ahad, 28 November 2010

BERCERAI keluarga dan parti politik

SEKALIPUN dua orang dilahirkan kembar seiras, tidak mungkin mereka tetap sama dalam serba serbi. Kemampuan intelektual, fizikal dan tahap penguasaan emosinya juga berbeda.  Jika yang kembar seiras telah begitu, maka tentulah antara lelaki dan perempuan jelas tidak sama.  Namun kerana fitrah yang ditentukan oleh Tuhan, lelaki dan perempuan saling perlu-memerlukan antara satu sama lain.  Dalam konteks memenuhi keperluan hidup antara lelaki dan perempuan, perkahwinan merupakan jalan yang ditentukan.

 foto hiasan

Senang cerita, dua manusia lelaki dan perempuan yang saling berbeda fizikal, kemampuan intelektual, kerohanian dan penguasaan emosi hanya boleh hidup berpuluh-puluh tahun sebagai suami isteri jika antara mereka sanggup bertolak ansur demi menjalani kehidupan bersama yang penuh ketidak samaan.  Sejauh mana mereka sanggup mengalah dan menerima antara satu sama lain demi meneruskan hidup bersama, sejauh itulah mereka dapat mempertahankan kerukunan hidup bersama dalam keadaan yang jelas tidak ada persamaan.

Nampaknya orang-orang yang menyertai sesebuah parti politik juga tidak lari daripada falsafah hidup berkeluarga suami isteri.  Oleh kerana jelas wujud perbedaan antara manusia, tambahan lagi dalam pemikiran politik, maka sejauh mana seseorang boleh kekal dalam parti politik  berkenaan bergantung sejauh mana kepemimpinan berjaya mengimbangi kehendak para ahli dan perjalanan parti dalam sistem politiknya.

Begitu juga gabungan antara beberapa parti politik yang kekal kerana wujudnya kesanggupan mengalah dan menerima seadanya rakan-rakan parti politik untuk kekal dalam gabungan berkenaan.  Jika ada sebuah saja parti yang berkeras supaya kehendaknya mesti diterima dan parti-parti lain tidak diberi peluang yang sama, pasti akan berlaku perkelahian sebagaimana suami isteri bertengkar siang dan malam.  Jika  sepasang suami isteri boleh bercerai kerana sudah tidak boleh bertolak ansur, maka ahli parti politik juga akan keluar parti jika berlaku perbedaan pendapat yang tidak boleh diselesaikan.  Keadaan ini banyak berlaku sejak Dato’ Onn Jaafar yang menubuhkan Umno, malah dia juga keluar Umno kerana parti yang ditubuhkannya itu sudah tidak sehaluan dengan pemikirannya.

Nampaknya orang dengan mudah keluar masuk parti politik kerana tidak ada peraturan sebagaimana perceraian suami isteri.  Orang berjawatan tinggi dalam parti yang banyak pengikut boleh saja keluar parti yang mungkin membawa sejumlah penyokongnya bersama.  Kalau suami isteri bercerai, terpaksalah naik turun mahkamah jika berebut-rebut penjagaan anak-anak.

Apa pun sudut moralnya sama, sejauh mana antara sesama manusia dapat mengimbangi kehendak masing-masing terhadap rakan-rakan atau pasangannya.

Sabtu, 20 November 2010

4.2 juta orang muda tidak mahu mengundi

HUJUNG tahun 2010 begini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberitahu ada 4.2 juta orang muda tidak mendaftar sebagai pengundi.  Dalam rukun politik demokrasi, antara rukunnya ialah pengundi.  Daripada jumlah rakyat yang sepatutnya boleh mengundi sebanyak 15.6 juta orang, 4.2 juta orang (dan pasti akan menjadi 5 juta orang) merupakan peratusan yang besar. Pengundi berdaftar sekarang ialah 11.4 juta orang.


Mengapa orang muda tidak berminat politik?  Jawabannya ada pada drama politik dan aktor-aktornya.  Orang muda sering bertanya: Apa kami akan dapat daripadanya?

Kononnya setelah PRU ke-12, semua ahli politik menjanjikan perubahan cara, pemikiran dan tindakan politik untuk disesuaikan dengan generasi X dan Y!    Seperti biasa, jangan percaya janji-janji ahli politik.  Politik di negara kita menjadi terlalu berdarjat tinggi, yang hanya dihuni oleh para bangsawan yang mengaku berjiwa malaikat. Musuh politiknya pula bertaraf syaitan!.  Isunya juga tidak merakyat.  Orang muda tidak mendapat apa-apa, maka mereka kata: Lantaklah kau politik!

Satu: Drama politik PKR dengan masuk keluarnya ahli politik dalam parti itu, langsung membosankan orang muda.  Tidak ada idealisme apa-apa dalam parti yang dikatakan terbaik untuk memerintah negara. Orang muda kuat idealisme dalam pemikiran dan tindakannya hanya tertawa melihat drama orang-orang tua berpolitik.

Dua: Cara berpolitik lapuk dengan menabur kebencian untuk membedakan antara sesebuah parti politik.  Lihatlah cara Umno mempolitikkan isu orang bukan Islam memasuki masjid  dan Pas yang mengobarkan isu Memali.  Orang muda tidak merasa apa-apa faedah kepada generasinya.

Tiga: Pemimpin politik di negara kita mahu mati dalam jawatan.  Lihat saja Ketua Menteri Sarawak, Menteri Besar Kelantan, watak-watak utama dalam DAP dan pemimpin-pemimpin utama dalam BN.  Barangkali orang muda masih boleh menerima mereka sebagai pemimpin, tetapi corak pemikiran orang-orang tua dalam politik langsung tidak sesuai dengan pemikiran orang muda. 

Yah, jadi untuk apa bersusah-susah mendaftar sebagai pengundi, kemudian berbaris untuk mengundi. Semua itu membuang masa dan tidak berguna.

Ahad, 14 November 2010

FAHAMKAH falsafah kurban haiwan

HARI  Raya Korban.  Menyembelih haiwan ternakan pada hari idul adha merupakan ibadah sunat, bukan wajib.  Jika ibadah haji diwajibkan sekali seumur hidup, ibadah kurban haiwan ini disunatkan sekali sahaja seumur hidup. Jika berkurban haiwan kali kedua dan seterusnya, hukumnya sunat juga.


Di kampung saya ada sebuah rumah yang setiap tahun melaksanakan ibadah menyembelih lembu sebagai kurban saban tahun, maksud saya sekuran-kurangnya dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.  Rumah ini sebenarnya sudah tiada penguhuni kerana pemiliknya seorang guru agama telah lama meninggal dunia.  Semua anaknya tinggal di kota kerna berjawatan tinggi dan pendapatan lumayan.  Rumah itu  terus dikekalkan sebagai kenang-kenangan, dan anak-anak pun jarang balik kampung pada mana-mana hujung minggu atau hari cuti yang agak lama.

Pada Idul Adha itulah anak-anak berpakat membeli beberapa ekor lembu atas nama kurban mereka adik beradik dan anak-anaknya.  Ada kalanya dalam satu musim Idul Adha, sebanyak tujuh ekor lembu dikorbankan.  Orang kampung akan datang dan melapah serta membahagi-bahagikan daging lembu korban itu. Dapatlah orang-orang kampung daging kurban lebih banyak daripada kehendak biasanya membeli daging lembu di pasar!

Yang saya hendak catat ialah pandangan saya terhadap pemahaman mereka mengenai ibadah menyembelih haiwan kurban.  Terus terang saya katakan pemahaman ibadah kurban mereka salah, tidak menepati anjuran Islam yang sebenarnya.  Ketepikan soal ikhlas kerana Allah atau mahu mendapat nama atau untuk menderma daging kepada sanak saudara dan teman di kampung halaman, lupakan seketika.

 Balik kepada hukum antara sunat dan wajib.  Biar 1000 ekor lembu dikurbankan pada idul adha, hukumnya tetap sunat.  Soalnya dengan setiap tahun berkorban lembu (kira-kira RM3000.00 seekor), sudah habiskah hukum wajib untuk dilaksanakan dalam kerangka ibadah yang bentuk sosial?  Ya Allah, masih banyak hamba Allah yang wajib dibantu sama ada untuk keperluan hidup asas mereka seperti rumah, rawatan kesihatan dan pendidikan anak-anak.  Tanyalah kepada ustaz mana pun, soal membantu mereka hukumnya wajib kepada muslim yang berharta atau yang mampu, yang sanggup kurbankan harta untuk membela kehidupan orang lain. Bayangkan RM3000.00 jika dijadikan dana seorang anak miskin untuk pelajarannya setahun, cukup semua keperluan sekolahnya.  Yalah…, Cuma tidak dipandang tinggi oleh masyarakat.  Malah kalau tangan tidak gatal untuk minta wartawan catatkan derma atau tajaan itu, satu Malaya tidak tahu.

Begitulah pemahaman sekular orang kita.  Saya anggap orang agama yang terus berfahaman begitu juga sekular, kerana minda mereka tidak memahami falsafah kurban yang wajib digunapakai dalam sistem masyarakat.  Kalau orang agama masih gagal memahami dan mengguna pakai mana keutamaan untuk dilaksanakan: mahu yang wajib atau sunat? Masih tak faham lagi, saya ucapkan TERUK BETUL KAMU!

Selasa, 2 November 2010

KERJA sendiri vs makan gaji

KAWAN saya seorang mekanik kereta keturunan Tionghua menceritakan kritikannya terhadap satu institusi kerajaan.  Saya kenal dia sebagai orang yang sentiasa bekerja kuat dan punya kesanggupan menolong orang walau tidak ada habuan apa-apa.  Dan kerana itulah dia dihormati dalam kalangan masyarakatnya.  Dia juga sukarelawan bomba daerah Sabak Bernam.

Secara kebetulan dia perlukan khidmat segera untuk kesihatan anak perempuannya.  Sebagai orang yang selalu bekerja keras, apabila berhadapan dengan orang yang bekerja sambil lewa memang perasaan keciwa dan marah tidak dapat disembunyikan.  Jadi dia marah sehingga membuat aduan kepada pihak atasan.  Selepas itu, katanya ada perubahan.  Baguslah, ada pemantau daripada masyarakat.

Secara kebetulan juga, orang yang bekerja sendiri mengkritik orang yang makan gaji.  Secara kebetulan kedua ialah seorang keturunan Tionghua yang memang mempunyai reputasi kerja kuat mengkritik cara kerja kaum Pribumi.  Ini bukan konflik perkauman, tetapi kritik profesionalisme.  Kalau saya di tempat mekanik itu pun, pasti saya panas di dada.

Moralnya ialah: Orang makan gaji agak selekeh kerjanya berbanding orang yang kerja sendiri.  Mungkin keterlaluan dikata begitu tetapi ada kecenderungannya.  Sedia maklum, sama ada bekerja keras atau selekeh, pada akhir bulan begitulah jumlah gajinya.  Dalam keadaan jumlah pekerja yang banyak dan pengurusan tidak mampu memberikan ganjaran-ganjaran tersendiri untuk mengiktiraf kecemerlangannya, akhirnya banyak yang bekerja sekadar untuk mencukupkan tempoh masa.

Si mekanik juga seorang sukarelawan bomba, ertinya sanggup bekerja lain yang tidak pun menambah pandapatannya.  Agaknya kerana itu dia mempunyai kekuatan untuk mengkritik orang lain yang dipandangnya malas, sedangkan orang itu mendapat gaji.  Maka, jika orang yang bekerja makan gaji hendak merasa apa erti bekerja dalam keadaan ikhlas yang tidak dijanjikan habuan wang ringgit, sila memasuki ruang kerja sukarela secara berdisiplin!