Rabu, 21 September 2011

SEBAB tidak ambil peperiksaan


APAKAH sebenarnya yang menyebabkan seorang Guru Besar di Sarawak tidak membenarkan tiga orang murid menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR)?  Hanya satu jawaban iaitu Guru Besar itu mahu menjaga peratus kelulusan yang baik dalam UPSR sekolah yang ditadbirnya!  Kemudian ditanya untuk apa?  Jawabannya untuk menjaga nama baik dirinya sebagai Pentadbir sekolah yang berpeluang mendapat kenaikan pangkat atau hadiah-hadiah untuk sekolah oleh pihak Kementerian Pelajaran. 


Saya percaya sistem peperiksaan yang ada, konsep anugerah untuk Guru Besar / Pengetua dan pengiktirafan terhadap sekolah-sekolah harapan serta cemerlang sangat mempengaruhi warga guru berfikir untuk mendapatkan sanjungan daripada pihak atasan.   Yang berlaku di sebuah sekolah kebangsaan itu bukan kes kecil, tetapi satu rahsia umum dalam kalangan para pentadbir sekolah kebangsaan dan menengah kebangsaan.

Setiap kali selesai peperiksaan, guru akan membuat kiraan berapa peratus yang lulus dan gagal.  Semakin banyak peratus gagal, bukan sahaja Pentadbir di sekolah akan meminta guru berkenaan memberi jawaban, malah pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah juga akan berbuat demikian.  Dalam amalan bersekolah dan persekolahan, pentadbir di sekolah dan seterusnya sehingga ke pihak Menteri Pelajaran berpakat untuk melihat masalah keciciran murid hanya disebabkan oleh faktor guru yang mengajar.  Faktor murid yang tidak dapat menerima pelajaran misalnya, haram disebut atau dibahaskan.  Maksudnya di sini, hantarlah 100 murid yang langsung tidak mempunyai apa-apa pengetahuan asas, pasti guru dapat mengajarnya dalam tempoh yang ditetapkan.  Jika dalam tempoh itu masih ada murid yang gagal, bererti guru berkenaan tidak pandai mengajar murid.

Oleh kerana nilaian sebenar dalam pendidikan hari ini berdasarkan keputusan peperiksaan murid, maka pemikiran untuk mendapatkan peratus lulus yang tinggi bagi setiap tahap peperiksaan sudah seperti menjadi akidah baru guru yang mengajar.  Untuk selamat daripada disoaljawab hasil pengajarannya, perlu direkodkan apa saja yang terbaik.  Untuk memuaskan hati pegawai atasan, buatlah apa saja asalkan hasil di atas kertas menunjukkan peratusan positif yang tinggi.

Dengan peratusan positif yang tinggi, seseorang guru berpeluang mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.  Guru Besar dan Pengetua yang berjaya memberikan hasil peratusan tinggi bagi peperiksaan di sekolahnya, berkemungkinan akan dinaikkan pangkat atau mudah untuk memohon pindah dari sekolah pedalaman ke bandar. Pendapatan akan ditingkatkan!  Oh ya, mereka juga bimbang namanya akan disebut-sebut sebagai pentadbir atau pegawai pelajaran yang gagal atau lemah dalam kalangan warga pendidik.

Maka, berlakulah rayuan kepada murid agar tidak hadir dalam peperiksaan atau tidak membenarkan murid tertentu menduduki peperiksaan.  Alasannya mudah, tanpa murid yang lemah mengambil peperiksaan, peratus lulus mata pelajaran pasti meningkat dan pujian akan datang. Yang penting tidak ada soal jawab oleh pihak atasan.

Ohoo…bukan sahaja di sekolah harian biasa berlaku pemikiran itu, malah di sekolah ternama atau terbilang.  Anak saya bersekolah di sebuah sekolah asrama penuh yang terbilang (ye ke?), selain mengambil semua subjek untuk PMR, masih diwajibkan belajar bahasa asing iaitu bahasa Perancis (atau mana-mana bahasa lain).  Jika pelajar di sekolah lain mereka menduduki peperiksaan untuk bahasa berkenaan, di sekolah berkenaan tidak. Belajar wajib tetapi tidak didaftarkan untuk menduduki peperiksaan.  Mengapa? Jawabnya Pengetua sekolah berkenaan takut atau bimbang tidak semua mendapat Gred A dalam subjek bahasa asing itu.  Penat dan merah telinga nanti pegawai Kementerian pelajaran berleter itu dan ini. 

Rabu, 14 September 2011

APABILA Bahasa Inggeris wajib lulus SPM


ADA pihak yang kaget apabila Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan mungkin subjek Bahasa Inggeris akan menjadi wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.  Inilah kali pertama dalam sejarah SPM bahasa Inggeris akan menjadi subjek wajib lulus, sedangkan permintaan ke arah itu sudah lama kedengaran.  Sebelum ini Menteri Pelajaran itu juga mengumumkan subjek Sejarah menjadi subjek wajib lulus seperti subjek Bahasa Melayu.


Apabila ada sekatan-sekatan tertentu untuk mendapatkan SPM, maka konsep SPM sebagai sijil terbuka yang diumumkan dahulu kian hilang.  Asalnya juga pelajar tidak dihadkan mengambil jumlah mata pelajaran, sehingga ada pelajar yang mengambil lebih 20 mata pelajaran.  Kemudian Kementerian Pelajaran mengehadkan jumlah pengambilan mata pelajarannya.

Dengan tiga subjek wajib lulus, kemungkinan pelajar gagal dalam SPM pasti bertambah berbanding dengan peraturan asal sekarang yang hanya mewajibkan lulus Bahasa Melayu (sekurang-kurangnya) untuk mendapat sijil peperiksaan SPM.  Apabila menteri berkenaan mengumumkan subjek Sejarah wajib lulus, kumpulan pendidikan bukan Melayu dan ibu bapa mereka melahirkan kebimbangan kemungkinan anak mereka akan gagal dalam SPM kerana peratus lulus subjek Sejarah peringkat nasional antara 65-68 peratus.

Kini apabila menteri mengumumkan wajib lulus Bahasa Inggeris pula, yang tersentak dan gelisah ialah ibu bapa Melayu khasnya di luar-luar bandar yang kadar lulus subjek itu selama ini sangat rendah.  Mudah mereka membayangkan keciciran besar anak-anak Melayu dalam SPM hanya kerana gagal Bahasa Inggeris sedangkan subjek lain mereka boleh lulus dengan baik.

Agaknya mengapa Menteri Pelajaran (dengan kuasanya) mengumumkan Bahasa Inggeris subjek wajib lulus.  Rasanya tidak ada kepentingan lain ialah untuk memaksa semua pelajar menekuni pelajaran bahasa antara bangsa itu sejak awal.  Keputusan ini pun seperti sudah dijangka apabila Kementerian Pelajaran mengambil tindakan berani menghentikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), sedangkan sebelumnya kerajaan dilihat sangat bertegas dalam pelaksanaannya.  Selain itu desakan Page (NGO yang mahu PPSMI dikekalkan) juga sangat mempengaruhi keputusan baru ini.  Soal politik memanglah, pendidikan di negara ini sentiasa menjadi bahan berpolitik sejak dahulu!

Ini akan menjadi satu desakan kepada semua pihak, khasnya yang selama ini agak perlahan dalam membangunkan kecemerlangan Bahasa Inggeris. Tentulah Kementerian Pelajaran mempunyai strategi untuk mempertingkatkan hasil pengajaran dan pemelajaran bahasa Inggeris dalam kalangan murid-murid khasnya di kawasan luar bandar.  Namun bersediakah semua pihak yang terlibat melakukan satu revolusi pendidikan berkaitan dengan dasar baru dalam SPM ini?