Jumaat, 1 Julai 2011

SELEKEHNYA pelajar berselipar


DALAM kelas tambahan di sekolah, pelajar hadir dengan berselipar. Apa ertinya?  Untuk memahami mengapa pelajar berkenaan berselipar, lebih baik diketahui makna budaya berselipar dalam masyarakat.

Selipar hanyalah alas kaki, pelapik tapak kaki daripada terkena tanah.  Bentuk selipar yang sangat mudah diguna menyebabkan selipar menjadi pilihan banyak manusia yang memerlukan alas kaki pada waktu yang cepat.  Selipar juga hanya alas kaki yang sesuai di bilik air!

Jika ada pelajar berselipar untuk kelas akademik, jelas mindanya bukan hendak belajar.  Seperti orang berselipar di luar sekolah untuk berjalan-jalan di halaman tanpa tujuan yang sangat jitu, dia pun berjalan-jalan ke sekolah dengan tujuan yang tidak jelas.  Perhatikan, bahawa pelajar yang berselipar pasti tidak menepati waktu belajarnya.  Jika dalam kelas, dia cenderung hanya melayan kehendak peribadinya sahaja, bukan memberi tumpuan kepada apa yang diajar oleh guru.

Teruklah jika ada sekolah sengaja membiarkan pelajar-pelajarnya berselipar hadir ke sekolah di luar sesi akademik rasmi seperti untuk aktiviti kokurikulum, latihan sukan, kelas tambahan atau apa sahaja.  Oh ya, lebih teruk jika guru-gurunya juga berselipar sahaja untuk aktiviti bukan akademik rasmi. 

Telitilah, tidak ada sebuah sekolah yang mahu membentuk imej dan disiplin tinggi warganya kemudian membiarkan pelajar-pelajarnya berselipar ke sekolah!