Isnin, 25 April 2011

Melayu Umno-BN, Cina DAP-PR?


KERNA  buta sejarah atau akal yang berkuncup tidak dapat memahami pergolakan politik dalam negara.  Perjuangan MCA, Gerakan dan DAP sebenarnya perjuangan untuk mendapatkan apa yang sejak awal mereka kehendaki persamaan hak antara kaum-kaum di negara ini.  Perjuangan ini bukan hanya tiba-tiba dirasakan perlu malah sejak tamat Perang Dunia Kedua (1946) apabila orang-orang Melayu bangkit menentang gagasan Malayan Union, kaum Cina mula melihat nasib mereka di Tanah Melayu.


Jika dalam politik kaum Melayu banyak dipangaruhi oleh tafsiran terhadap Islam, tidak pada kaum Cina.  Mudah untuk melihat adanya tasawur Melayu yang melupakan kepentingan dunia atas alasan mengharap kebahagiaan abadi di akhirat. Namun hampir semua sisi kaum Cina memfokuskan pemilikan harta sebagai matlamat perjuangan hidup!  Ini bermakna fokus semua kaum Cina sangat jelas iaitu kekayaan, pada saat satu dua kumpulan Melayu ada yang menjadi kumpulan sufi dan menjauhi harta.  Ada pemahaman politik Melayu yang lebih kepada pelaksanaan syariat Islam, dan meletakkan harta sebagai nombor lima.  Hal ini bermakna, perjuangan orang Melayu tidak sama fokusnya. Perjuangan kaum Cina sudah sedia terarah, menjadkan apa juga parti mereka atau fraksinya dengan jelas ke arah pemilikan harta.

Semua orang patut faham bahawa harta (baca dengan mudah keluasan tanah) Tanah Melayu tidak bertambah.  Tanah Melayu yang dihuni oleh 100 peratus orang Melayu dahulu kala adalah Tanah Melayu yang itulah untuk dikongsi dengan 35 peratus kaum Cina!  Oleh itu apabila berlaku penguncupan pemilikan harta oleh orang Melayu bermakna pengembangan pemilikan harta oleh kaum Cina.

Apabila Tanah Melayu merdeka, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman berfikiran bahawa sector politik mesti dikuasai oleh kaum Melayu dan ekonomi pula dikuasai kaum Cina.  Setelah 10 tahun merdeka, pemikir dan pejuang Melayu merasakan daifnya pemilikan harta oleh kaum Melayu, masa sudah terlambat dan tercetuslah peristiwa berdarah 13 Mei 1969. 

Kemudian Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan merupakan satu kejutan dan ancaman terhadap kaum Cina di Malaysia. Kepada orang Cina, DEB benar-benar dasar membela Melayu, malah ditafsir sebagai hegemoni Melayu di Malaysia.  Dari situlah pertentangan kepentingan antara Melayu dan Cina dalam banyak bidang berlaku, Cuma atas nama perpaduan rakyat Malaysia isu-isu berkenaan Melayu Cina dirundingkan dalam kamar, bukan di pentas terbuka.

Umumnya selama 20 tahun DEB, kaum Cina berpendapat mereka terhimpit dan mencari peluang dalam politik untuk mengubah keadaan ini.  Desakan-desakan politik mereka  ialah supaya kerajaan menambahkan peluang ekonomi yang dalam DEB banyak diberikan kepada Melayu-bumiputera.


Orang muda tidak tahu sejarah penubuhan Gerakan sebagai serpihan MCA. Waktu itu Presiden MCA Lim Chong Eu mahukan dasar yang lebih adil terhadap kaum Cina sementara Umno berkeras menolak tuntutan itu.  Pilihannya ialah Lim keluar MCA (tidak mahu bersekongkol dengan Umno) dan menubuhkan Gerakan.  Apa bedanya tuntutan Gerakan dengan DAP yang mahu pelaksanaan dasar sama rata antara Melayu dan bukan Melayu?  Dasar Malaysiaan Malaysia (dasar DAP) sama dengan skema perjuangan Lee Kuan Yew sewaktu Singapura dalam Malaysia dahulu (1963-65).   Jika orang memahami mengapa Tunku mengeluarkan Singapura daripada Malaysia, maka orang patut faham Lim Chong Eu terpaksa keluar daripada Perikatan.

Hari ini apa? Perjuangan politik kaum Cina masih tidak berubah. Perjuangan politik ini jelas adalah respon terhadap dasar-dasar kerajaan Umno-BN.  Kepada orang Cina, MCA telah gagal memperjuangkan aspirasi kaum Cina, dan harapannya ialah kepada DAP.  DAP menjadi satu alat yang lebih berkesan sekarang kerana  dasar DAP  mula diterima oleh sebagian orang Melayu.

Kecederungan kaum Cina berpihak kepada DAP-Pakatan Rakyat bolehlah disamakan dengan kecenderungan kaum Melayu kepada Umno-Barisan Nasional. Inilah yang telah dan sedang berlaku.

Bahagia Malaysia!

APABILA PM menghargai bloggers

Perdana Menteri YAB Datuk Seri Najib memberi ucaptama dalam Persidangan Penulis-penulis Blog Rantau Malaysia-Asean.  PM juga memberi jaminan akan terus memberi kebebasan kepada para penulis blog menyuarakan pandangan mereka kerana penulis blog mempunyai idea tersendiri yang adakalanya berguna kepada kerajaan.

Ertinya, pemikiran blogger sudah diiktiraf asalkan hasil penulisannya bertanggungjawab dan beretika.  PM dan kerajaan sekarang bersedia menerika kritikan daripada pihak luar (luar kerajaan), maksudnya daripada penulis-penulis blog.

Jika seorang Perdana Menteri yang mempunyai kuasa eksekutif tertinggi dan pengaruh yang besar boleh berlapang dada dengan pandangan berbeda daripada para blogger, sangat diharap mereka yang duduk dalam jalur eksekutif mana pun mestilah bersedia mendengar pandangan kedua daripada para blogger.

Keadaan hari ini menjelaskan kuasa dan pengaruh blogger  menyebarkan maklumat dalam banyak perkara.  Memang akan berlaku pertentangan antara pihak yang mahu mengekalkan status quo dengan pandangan kritikal para blogger.  Apa yang pasti ialah akan berlaku perdebatan idea dalam ruang maya dan kesan besar akibat alam debat ini.

Mereka yang selama ini bertahan dengan sesuatu pendirian pasti gelisah kerana kubunya akan terus diceroboh di samping mereka ketiadaan upaya menampilkan hujah balas.

Perhatikan mengenai mereka yang masih berpemikiran lama tetapi mahu terus dilihat gagah.  Kumpulan ini tidak menampilkan hujah dalam membalas perbedaan pendapat, sebaliknya akan membuat serangan peribadi terhadap penulis-penulis blog.  Lihatlah kaedah orang-orang yang mempertahankan pemikiran lama memahami agama dalam menjawab pemikiran baru yang didasari ajaran asas (alquran dan sunnah).  Lihatlah sama ada mereka menjawab dengan hujah atau melepaskan serangan terhadap penulisnya.

Selasa, 19 April 2011

KAJIAN Ketuanan Politik Melayu


SAYA sedang  menghabiskan pembacaan kajian kedoktoran seorang pensyarah bertajuk Ketuanan Politik Melayu dari Pandangan Kaum Cina.  Benar, penulis atau pengkajinya seorang keturunan Cina, tetapi lebih menambah mudah mencurahkan pandangannya terhadap konsep Ketuanan Melayu di Malaysia.  Penulis memaparkan hasil kajian secara jujur, sehingga sekalipun jika tidak dilihat daripada kaca mata orang Cina, memang begitu hakikat sejarah Ketuanan Melayu.

Selama ini kebanyakan orang Melayu melihat konsep Ketuanan Politik Melayu daripada kaca mata orang Melayu, yang tidak digambarkan secara tepat.  Setidak-tidaknya para pemimpin Melayu tidak akan menyatakan data-data pencapaian kuasa orang Melayu sejak tahun 1946 yang termaktub dalam Perlembagaan atau undang-undang.  Perkhabaran ini sedia maklum, pertama untuk tidak menggambarkan kaum Melayu benar-benar berkuasa di negara ini di samping orang bukan Melayu sebagai kaum yang setia terhadap kaum Melayu.  Kedua, para pemimpin Melayu tidak akan mewar-warkan keberuntungan nasib kuasa politik Melayu dan kejayaan memelayukan kebanyakan sistem dan budaya hidup rakyat Malaysaia, demi mengelakkan disalah tafsir oleh kaum bukan Melayu.

Membaca kajian Thock Ker Peng ini memudahkan saya memahami perjuangan yang dibawa oleh Umno dalam Barisan Nasional dan gagasan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP.  Misalnya, dalam pilihan raya di Sarawak baru-baru ini, SUPP parti yang mewakili kaum Cina di Sarawak dalam BN membuat ugutan mengenai kemasukan Umno ke Sarawak jika SUPP ditewaskan oleh DAP.  Boleh dikatakan kebanyakan undi kaum Cina sama ada di Semenanjung atau Sarawak memang diberikan kepada DAP dan Pakatan  Rakyat.   Situasi ini memang kesan daripada konsep Ketuanan Politik Melayu yang diamalkan oleh Umno-BN.

Soal pada zaman sebelum Tun Abdullah dan DS Najib para pemimpin BN berjaya memahamkan konsep Ketuanan Politik Melayu, itu memerlukan satu kajian lain.  Namun hakikatnya, pada zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir merupakan kejayaan pemimpin Melayu mempertahankan konsep Ketuanan Politik Melayu.  Ertinya masyarakat bukan Melayu khasnya kaum Cina dapat menerima BN sekalipun Umno melaksanakan Ketuanan Politik Melayu, yang oleh penulis dicatat sebagai hegemoni Melayu!

Ahad, 17 April 2011

RPK tentukan apa pendakwaan terhadapnya!


AGAKNYA setelah berkira-kira berjaya mempengaruhi pemikiran orang politik, Raja Petra Kamaruddin (RPK) senang-senang menentukan apa yang boleh dan tidak boleh didakwa terhadapnya.  Katakan saja pihak berkuasa (Jabatan Peguam Negara) menerima kaedah yang ditawarkan oleh RPK, maka adakah selepas ini sesiapa juga yang dikejar polis dan bersembunyi boleh membuat tawaran kepada polis mengenai pendakwaannya!  Jika apa yang diminta oleh RPK diterima, maka apa yang menyebabkan orang lain tidak dilayan sama?

SHAH ALAM – Pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin berjanji akan pulang ke tanah air dan mengaku bersalah sekiranya Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail mendakwanya atas tuduhan menfitnah pegawai di Markas Tentera Darat, Kementerian Pertahanan, Kolonel Azmi Zainal Abidin. 

Katanya, dia akan berbuat demikian dan bersedia masuk penjara, dengan syarat dia tidak didakwa menfitnah tiga orang lain, termasuk isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. 

Dua orang lagi yang Raja Petra namakan sebagai orang yang dia tidak mahu dikaitkan dalam sebarang tuduhan, ialah Kolonel Norhayati Hassan dan Kolonel Aziz Buyong. 

Katanya, dia tidak pernah mendakwa Rosmah, Kol Aziz dan Kol Norhayati terlibat pada malam model Mongolia, Altantuya Shariibuu dibunuh pada 18 Oktober 2006 di Puncak Alam, di sini. 

Katanya, dia mendapat maklumat bahawa tiga orang itu berada di situ daripada Azmi, yang ketika itu sebagai Timbalan Ketua Anggota Tentera Cawangan Khas, kerana pada masa itu Azmi adalah orang nombor dua dalam unit khas perisikan tentera.

“Selama tiga tahun saya hidup di bawah stigma menfitnah orang yang salah. Saya tidak nafi menandatangani surat sumpah itu, tetapi saya tidak mahu didakwa atas jenayah yang saya tidak lakukan. 

“Mendakwa saya kerana menfitnah tiga individu tersebut adalah pendakwaan yang salah. Pendakwaan yang tepat adalah memfitnah Azmi. Jika itulah pendakwaannya, saya berjanji akan pulang,” katanya seperti yang dipetik oleh portal Malaysia Today semalam. 

Raja Petra berkata, jika pendakwaan tersebut benar-benar hanya melibatkan fitnah terhadap Azmi, beliau berjanji tidak akan melawan proses pendakwaan dan terus mengaku bersalah. 

“Mereka (pihak pendakwa) juga perlu berjanji pendakwaan tersebut sahaja yang saya hadapi, bukannya secara tiba-tiba mendakwa saya dengan 10 jenayah lain”. 

Dia juga berkata, dari semasa ke semasa dia cuba membetulkan persepsi tersebut, tetapi gagal kerana kenyataannya telah disalahgunakan oleh media pro pembangkang dan media pro kerajaan. 

Menjelaskan kenapa baru kini dia mendedahkan perkara ini, Raja Petra berkata, dia sudah menyatakan perkara ini sejak tiga tahun lalu. 

“Saya sudah bertahan dan malu apabila mereka memanggil saya penipu selepas menandatangani surat sumpah itu, tetapi sekarang saya lebih teruk kena apabila saya dikatakan sebagai kuda trojan, pembelot dan sebagainya. 

“Saya tidak peduli kerana saya sudah bertahan tiga tahun. Jadi tiada masalah bagi saya untuk tunggu tiga tahun lagi untuk bersihkan nama saya,” katanya. 

Di bawah Akta Fitnah 1957, seseorang didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga dua tahun

Jumaat, 15 April 2011

MEDIA BN dedahkan nasib parti itu


ESOK 16 April, secara peribadi adalah tarikh saya dilahirkan oleh ibu.  Untuk negara, 16 April 2011 merupakan hari mengundi kepada semua pengundi di Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri kali ke-10.  Perang politik sebenar bermula apabila calon-calon disahkan untuk bertanding. Maka kempen untuk pengundi menolak calon atau parti lawan bermula di samping meminta calon partinya diundi.  Selalunya begitulah, pengundi diasak dengan keburukan lawan lebih 70 peratus, dan bakinya mempamer keupayan calon atau parti sendiri.


Barisan Nasional sejak awal melaungkan akan mempertahankan kerajaan dengan cemerlang, dalam jangkaan yang tidak digugat oleh pembangkang.  Pembangkang diakui ramai tidak membawa imej baik sebagaimana BN.  Lihat saja para pemimpin Pakatan Rakyat sendiri mengakui masalah pengagihan kerusi dalam kalangan parti mereka, sehingga membawa pertindihan calon untuk melawan calon BN.  Pertikaian PKR-Snap tidak dapat disembunyikan lagi.  Politik tikam belakang (meminjam kata Nobisha) oleh DAP dan PKR berlaku terhadap tokoh politik parti mereka sendiri.  Nah, Dominique Ng satu-satunya Adun PKR sejak 2006 akhirnya keluar parti!

Media-media kedua-dua pihak sudah sarat melaporkan perkembangan kempen, oleh itu apakah petanda untuk keputusan pengundian esok?

Pertama: Pengerusi BN, DS Najib tun Razak tiba-tiba mendakwa matlamat BN hanya mahu menang majoriti mudah (lebih 50 peratus), tetapi jika mendapat majoriti dua pertiga adalah bonus.  Erti penjelasan ini bahawa BN dalam keadaan tertekan dan suasana kempen membayangkan BN mungkin akan kalah kepada calon-calon pembangkang.

Kedua: Parti SUPP yang mewakili kaum Cina dalam BN Sarawak membuat ugutan bahawa kegagalan BN mendapat majoriti dua pertiga pasti menyebabkan Umno akan digerakkan ke Sarawak.  Jika masyarakat Cina Sarawak terus setia kepada BN, SUPP tidak akan membuat ugutan seperti itu.  Ini bermakna dakwaan DAP benar bahawa hampir semua calonnya akan mengalahkan calon SUPP.  Rupa-rupanya Umno merupakan parti melayu yang sangat tidak disukai oleh kaum Cina di Sarawak, sebab itu kehadiran Umno dijadikan satu ugutan terhadap kaum Cina.

Ketiga:  Tokoh-tokoh BN atau blogger yang cenderung kepada BN menasihati para pengundi Sarawak supaya tidak membuat perjudian dalam pilihan raya ini.  Jika tidak ada kecenderungan pengundi untuk menolak BN, gaya penulisan mereka tidak akan berbentuk nasihat tentang  akibat menukar parti yang memerintah.

Keempat: media yang sangat berkesan mendedahkan peristiwa pilihan raya tetapi sangat merugikan BN dihack untuk melambatkan semua mendapat maklumat.  Ini bermakna laporan media arus perdana tidak berkesan mempengaruhi pemikiran pengundi agar menolak PR dan calon-calon bebas. Laman web Malaysiakini dan Sarawak Report menjadi mangsa keadaan ini.

Semua gambaran ini bukan berdasarkan media propembangkang, tetapi hanya penilaian daripada apa yang dilaporkan oleh media-media pro-BN.

Khamis, 14 April 2011

BACA berita politik dari sisi belakang

DALAM politik kena percaya berita-berita terbalik.  Keadaan di Sarawak sekarang, suasana hangat pilihan raya memilih 71 Ahli Dewan Undangan Negeri ke-10 kena baca surat khabar dari belakang.  Jika sesiapa melanggan Utusan Malaysia, Berita Harian dan TV3, baca atau lihat dari belakang.  Semua faham media-media ini sudah menjadi alat propaganda politik parti Barisan Nasional, maka semua berita ditulis untuk menguntungkan politik BN.



Jika pembaca sering melanggan akhbar Harakah, Roket dan blog-blog Pakatan Rakyat, juga perlu dibaca dari belakang atas sebab yang sama kerana semua itu media PR.  Untuk media-media PR, sangat dimaklumi kerana semua memang sedia tahu media itu diakui dan disahkan sebagai organ politik parti berkenaan.  Oleh itu pasti tidak ada berita yang baik bagi BN dalam mana-mana media milik parti PR.

Bagaimana akhbar arus perdana seperti utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times dan media milik Media Prima (TV3, NTV7, TV9 dan TV8)?  Selama ini media-media ini diterima sebagai media nasional, bukan organ parti politik sehingga dengan mudah media-media ini memasuki bilik darjah sekolah-sekolah.  Kiamatlah dunia jika Harakah dilanggan oleh sebuah sahaja sekolah milik Kementerian Pelajaran Malaysia!

Begitulah, untuk mana-mana berita politik dalam media arus perdana wajib dibaca secara terbalik.  Kalau diberitakan Perdana Menteri yakin BN akan menang di Sarawak, bacalah sebagai PM tidak yakin BN akan menang di Sarawak!  Begitulah berita-berita lain bab politik dalam kancah pilihan raya itu.

Kemudian seorang blogger yang dikatakan berani mati mengutuk BN (Perdana Menteri) dan membela Anwar Ibrahim, Raja Petra Kamaruddin yang mendedahkan dirinya begitu murah dan tidak ada pegangan kerana mudah menerima ajakan untuk menuduh yang bukan-bukan terhadap PM dan isterinya.  Kes beliau ini juga patut dibaca bersama versi YB Zulkifli Noordin yang asalnya antara insan berani mati terhadap BN, hari ini dengan wajah ‘khusuk’ membela BN.  Orang dahulu berkata, ‘kalau tidak ada apa-apa masakan tempua bersarang rendah’ dan ‘kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang’.

Memang sesiapa pun boleh memilih untuk memihak kepada BN dan PR.  Untuk matang dalam berpolitik sama ada menyokong dan membangkang, biarlah kepada prinsip dasar dan pelaksanaan parti.  Ertinya, jika menyokong BN pun kerana dasar dan pelaksanaan dasar parti, bukan kerana peribadi YAB DS Najib Razak.  Begitu jugalah jika hendak berada dalam kandang PR, sokonglah dasar dan pelaksanaan dasar PR, bukan kerana Anwar Ibrahim atau Hadi Awang.

Lihatlah teruknya cara Ezam membela Anwar Ibrahim sampai masuk penjara, tidakkah waktu itu ada akalnya yang menerima keburukan Anwar Ibrahim?  Lihatlah pula hari ini Ezam menghentam Anwar habis-habisan, tidakkah ada sedikit akalnya menerima mengenai kebaikan Anwar.  Begitulah dengan  YB Zulkifli Noordin dan mungkin Raja Petra nanti.

Atau sebenarnya itulah akhlak orang-orang politik, kalau konon baik sebaik malaikat, kalau konon jahat sejahat iblis!  Orang yang di luar kandang politik  akan tertawa terbahak-bahak.  

Selasa, 12 April 2011

ANDAIKAN Ketua Menteri Sarawak bukan Islam


BERDASARKAN Perlembagaan Persekutuan, agama Islam bukanlah agama rasmi di Sarawak.  Penganut Kristian lebih besar di sana berbanding penganut Islam.  Selama Tan Sri Abdul Taib Mahmud menjadi Ketua Menteri, beliau boleh digambarkan sebagai Ketua Menteri Melayu, dan pastinya berimej Islam. Daripada sudut sentimen keislaman, tidaklah boleh dibuat bandingan beliau dengan Presiden Pas atau Menteri Besar Kelantan daripada Pas.  Pas memang secara jelas bergerak dan berjiwa Islam.  Parti PBB di Sarawak seperti juga Umno, menjadi parti orang Islam dan tetapi bukan berpaksikan Islam.  Namun begitu kedudukan orang dalam PBB dan Umno yang beragama Islam masih juga berimej Islam dan boleh dirundingi berkaitan hal-ehwal Islam apabila berlaku pertembungan antara pihak bukan Islam.


Katakanlah tsunami politik di Sarawak benar-benar berlaku dan TS Abdul Taib Mahmud kecundang, maka sebagai gantinya ialah Encik Baru Bian seorang bukan Melayu dan penganut Kristian.  Serta merta imej Ketua Menteri berubah daripada yang beragama Islam kepada Kristian.  Keadaan ini telah berlaku dahulu pada tahun 1985 di Sabah apabila Ketua Menteri Haris Salleh (BN-Berjaya) dikalahkan oleh PBS pimpinan Joseph Pairin Kitingan.  Daripada Ketua Menteri Islam beralih kepada Ketua Menteri Kristian.

Kalau benarlah TS Abdul Taib kalah nanti dan diganti seorang bukan Islam sebagai Ketua Menteri, janganlah terus menyalahkan rakyat.  Punca kemarahan rakyat (dengan melupai prinsip atau konsep Ketua Menteri atau Ketua Eksekutif Muslim) kerana kedudukan beliau yang berimejkan orang kaya dan terlalu lama berkuasa.

Pemimpin Melayu dan Islam di Sabah dan Sarawak agaknya tidak mempunyai keprihatinan untuk menjaga kelangsungan orang Islam sebagai Ketua Menteri dengan menampilkan watak Ketua Menteri muslim yang tidak buruk imejnya.  Sepatutnya, demi kelangsungan orang Islam dalam jawatan itu, cukuplah selama 15 tahun menjadi Ketua Menteri dan menyerahkan kepada pemimpin Melayu/Islam lain agar tidak dijadikan bahan kempen menyingkirkan kedudukan peribadi Ketua Menteri.

Saya tidak fikir, semua orang Islam di Sarawak terus selesa dipimpin Ketua Menteri seorang Kristian, kecuali mereka tidak peduli soal kepemimpinan politik Islam.  Pas yang bersama Pakatan Rakyat, yang bersetuju Baru Bian sebagai Ketua Menteri pun pada dasarnya tidak mahu seorang bukan Islam menjadi Ketua Menteri Sarawak.  Dalam pengajian berdasarkan sejarah Islam, Pas pasti berhujah bagaimana keadilan pemimpin Islam memerintah negara yang majoritinya bukan Islam.  Sejarah di Sepanyol dan India jelas kejayaan pemimpin Islam memerintah rakyat yang majoriti bukan Islam.  Memang Pas mahu menjadi seperti Nizar Jamaluddin yang menjadi Menteri Besar Perak sekalipun memiliki Ahli Dewan paling sedikit dalam PR, tetapi tidak di Sarawak!

Begitulah terabainya rasa tanggung jawab muslim terhadap kepimpinan muslim sehingga apabila kuasa sudah ada di tangan, yang difikir bukan umah tetapi kejayaan peribadi!  Itu yang sedang berlaku di Sarawak.