Memaparkan catatan dengan label undang-undang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label undang-undang. Papar semua catatan

Ahad, 17 April 2011

RPK tentukan apa pendakwaan terhadapnya!


AGAKNYA setelah berkira-kira berjaya mempengaruhi pemikiran orang politik, Raja Petra Kamaruddin (RPK) senang-senang menentukan apa yang boleh dan tidak boleh didakwa terhadapnya.  Katakan saja pihak berkuasa (Jabatan Peguam Negara) menerima kaedah yang ditawarkan oleh RPK, maka adakah selepas ini sesiapa juga yang dikejar polis dan bersembunyi boleh membuat tawaran kepada polis mengenai pendakwaannya!  Jika apa yang diminta oleh RPK diterima, maka apa yang menyebabkan orang lain tidak dilayan sama?

SHAH ALAM – Pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin berjanji akan pulang ke tanah air dan mengaku bersalah sekiranya Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail mendakwanya atas tuduhan menfitnah pegawai di Markas Tentera Darat, Kementerian Pertahanan, Kolonel Azmi Zainal Abidin. 

Katanya, dia akan berbuat demikian dan bersedia masuk penjara, dengan syarat dia tidak didakwa menfitnah tiga orang lain, termasuk isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. 

Dua orang lagi yang Raja Petra namakan sebagai orang yang dia tidak mahu dikaitkan dalam sebarang tuduhan, ialah Kolonel Norhayati Hassan dan Kolonel Aziz Buyong. 

Katanya, dia tidak pernah mendakwa Rosmah, Kol Aziz dan Kol Norhayati terlibat pada malam model Mongolia, Altantuya Shariibuu dibunuh pada 18 Oktober 2006 di Puncak Alam, di sini. 

Katanya, dia mendapat maklumat bahawa tiga orang itu berada di situ daripada Azmi, yang ketika itu sebagai Timbalan Ketua Anggota Tentera Cawangan Khas, kerana pada masa itu Azmi adalah orang nombor dua dalam unit khas perisikan tentera.

“Selama tiga tahun saya hidup di bawah stigma menfitnah orang yang salah. Saya tidak nafi menandatangani surat sumpah itu, tetapi saya tidak mahu didakwa atas jenayah yang saya tidak lakukan. 

“Mendakwa saya kerana menfitnah tiga individu tersebut adalah pendakwaan yang salah. Pendakwaan yang tepat adalah memfitnah Azmi. Jika itulah pendakwaannya, saya berjanji akan pulang,” katanya seperti yang dipetik oleh portal Malaysia Today semalam. 

Raja Petra berkata, jika pendakwaan tersebut benar-benar hanya melibatkan fitnah terhadap Azmi, beliau berjanji tidak akan melawan proses pendakwaan dan terus mengaku bersalah. 

“Mereka (pihak pendakwa) juga perlu berjanji pendakwaan tersebut sahaja yang saya hadapi, bukannya secara tiba-tiba mendakwa saya dengan 10 jenayah lain”. 

Dia juga berkata, dari semasa ke semasa dia cuba membetulkan persepsi tersebut, tetapi gagal kerana kenyataannya telah disalahgunakan oleh media pro pembangkang dan media pro kerajaan. 

Menjelaskan kenapa baru kini dia mendedahkan perkara ini, Raja Petra berkata, dia sudah menyatakan perkara ini sejak tiga tahun lalu. 

“Saya sudah bertahan dan malu apabila mereka memanggil saya penipu selepas menandatangani surat sumpah itu, tetapi sekarang saya lebih teruk kena apabila saya dikatakan sebagai kuda trojan, pembelot dan sebagainya. 

“Saya tidak peduli kerana saya sudah bertahan tiga tahun. Jadi tiada masalah bagi saya untuk tunggu tiga tahun lagi untuk bersihkan nama saya,” katanya. 

Di bawah Akta Fitnah 1957, seseorang didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga dua tahun

Selasa, 22 Mac 2011

DNA: Siapa yang terbeban mencari bukti?


ANDAIKAN ceritanya begini: ANDA sedang berehat di rumah bersama ahli keluarga.  Tanpa diduga sepasukan polis telah menunjukkan waran tangkap kepada anda. Anda ditahan reman, disoal siasat kemudian didakwa di mahkamah majistret.  Di mahkamah anda didakwa merogol seorang warga asing.  Kes ini sebenarnya bermula apabila perempuan warga asing itu membuat laporan polis mendakwa dirinya dirogol.  Apabila seseorang membuat aduan atau laporan kepada polis mengenai kejadian jenayah, pihak polis  bertanggung jawab menerima laporan dan membuat siasatan. Polis akan menyerahkan hasil siasatan kepada pendakwa raya untuk pendakwaan.   Anda dituduh, namun menjadi hak anda menafikan tuduhan itu.  OK, siapakah yang terbeban mencari bukti untuk membuktikan anda benar-benar bersalah?  Anda sendiri atau pihak pendakwa?


Begitulah kes Anwar Ibrahim yang sedang didakwa oleh kerajaan (pendakwa raya) melalui Seksyen 377B Kanun Kesiksaan. Anwar dituduh meliwat seorang muda.  Anwar menafikan dalam mahkamah.  Oleh kerana Anwar menafikan tuduhan terhadap dirinya, maka menjadi hak beliau untuk berhujah supaya timbul keraguan tuduhan  terhadap dirinya.

Siapakah yang wajib membuktikan Anwar bersalah?  Anwar sendiri atau pihak pendakwa?  Pihak pendakwa yang menuduh Anwar melakukan perbuatan tidak bermoral, maka beban membuktikan itu ditanggung sepenuhnya oleh pendakwa. Anwar tidak terbeban memberi apa-apa bukti bawa dirinya tidak bersalah, lagi pula sekarang baru dalam proses pendakwaan.  Hakim belum membuat keputusan supaya Anwar 'membela diri'.

Prinsip beban pembuktian oleh pihak pendakwa wajar diketahui oleh mana-mana pihak.  Kes ini pun sebagai satu pendidikan undang-undang.

Ahad, 20 Mac 2011

BILAkah SPR mahu seperti FAM atau FIFA?


DI PERINGKAT negeri, Menteri Besar atau Ketua Menteri diberi kuasa membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala di peringkat Persekutuan Perdana Menteri yang selalu melakukannya.  Sama ada kuasa ini merupakan hak berdasarkan undang-undang atau hanya amalan sejak zaman baru merdeka dahulu, adakah tindakan ini mencerminkan tindakan yang adil?


DUN Sarawak akan dibubarkan Isnin (21 Mac 2011) setelah Ketua Menterinya menghadap Yang Dipertua Negeri untuk memohon perkenan pembubaran DUN.  Siapa KM itu, adakah dia bukan pemain politik dalam pilihan raya berkenaan?

Untuk memudahkan faham hal adil atau zalim, buatlah perbandingan dengan perlawanan bola sepak.  Jika dalam politik senang-senang berlaku tunjuk perasaan dan rusuhan, hal yang sama boleh berlaku dalam sukan bola sepak kerana perasaan tidak puas hati juga.  Di peringkat Piala Dunia, FIFA merupakan badan yang mengendalikan perlawanan-perlawanan bola sepak.  FIFA berkuasa menentukan jadual pertandingan, pemilihan pengadil dan peraturan-peraturan lain.  Mana-mana pasukan bolasepak hanya akur dengan ketetapan FIFA. 

Dalam pilihan raya Malaysia, dikatakan SPR adalah pengendali semua pilihan raya. Suruhanjaya ini dikatakan bebas daripada belenggu politik kepartaian dan semua anggotanya dilantik oleh Yang Dipertuan Agung.  Kalau FIFA berkuasa menentukan semua hal bola sepak, SPR tidak ada kuasa menentukan pembubaran DUN atau Dewan Rakyat (DR).  Bayangkan jika ketua pasukan Jerman diberi hak menentukan tarikh perlawanan dengan pasukan Brazil, apa komen manusia penggila bola sepak?

Lihatlah ‘keadilan’ berpolitik di Malaysia. PM dan MB (KM) berkuasa memilih saat yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya, sedangkan mereka adalah ketua-ketua parti yang akan berlawan dalam pilihan raya!  SPR yang dikatakan bebas hanya menanti keputusan ketua-ketua parti politik yang memerintah ini untuk menentukan tarikh pilihan raya dalam tempoh 60 hari setelah pembubaran oleh ketua-ketua parti politik.  Sepatutnya SPR yang akan menghadap Yang Dipertuan Agong untuk memaklumkan pembubaran DR, bagi negeri menghadap Sultan atau Yang Dipertua Negeri.  Itu jika benar-benar SPR badan bebas yang tidak dicucukhidung oleh parti politik!

Kemudian siapa yang menentukan sempadan pilihan saya?  Di Malaysia, bukan SPR yang mengaris atau memadam sempadan kawasan pilihan raya, tetapi parti politik yang memerintah. SPR hanya menaip dan melukis peta kawasan yang dilukis oleh pelukis-pelukis peta parti politik yang memerintah.  Lihat pindaan atau persempadanan baru kawasan pilihan raya terakhir (selepas PRU 1999).  Contohnya di Pahang, ada Ahli Parlimen yang hanya menang 241 undi dalam PRU 1999, dan menanda kawasan baru dengan memasukkan kawasan tentara yang menjamin undi pos kepadanya. Jika tahun 1999 di kawasannya ada tiga DUN, dia menambah kepada empat DUN untuk tahun 2004. Nah pada PRU 2004, dia menang majoriti lebih 10,000!  Di Selangor pun ada Adun yang memasukkan kawasan bandar (banyak pengundi bukan Melayu) sedangkan asalnya DUNnya jauh di pedalaman.  Nah, semua urusan memetakan kawasan pilihan raya dilakukan orang politik yang jelas mahu menang, dan SPR hanya tukang coret-coret, kemudian dikatakan ini kerja SPR!  Adil?  Budak sekolah pun boleh kata penipu atau tak aci.

Adakah Pakatan Rakyat akan membuat reformasi keadaan ini?  Selama ini bagi negeri-negeri yang diperintahnya juga tidak menunjukkan MB atau KMnya memberikan hak kepada SPR.  Mereka juga mewarisi sistem yang diamalkan oleh BN.  Tunggulah jika PR memerintah satu Malaysia, adakah SPR akan diberi hak bebas dan adil sebagaimana harapan nama keadilan atau terus menggunakan SPR untuk kepentingan politiknya pula.

Jumaat, 18 Februari 2011

TEATER berkenaan ISA pula...


Dr Mahathir seorang negarawan.  Dia mantan Perdana Menteri yang dihormati dan disegani kawan dan lawan.  Musuh-musuh politiknya pun sukar menafikan sumbangan kerja dan pemikiran beliau terhadap negara.  Apa cerita terbaru beliau?

Selama 22 tahun Dr Mahathir menjadi PM tentulah banyak cerita di balik tabir yang tersimpan rapi. Hendak didedah setiap minggu pun belum tentu selesai.  Saya sendiri masih mencari punca dan motif mantan PM itu mendedahkan pemikirannya semasa menjadi PM terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) khasnya seksyen yang membawa penahanan tanpa bicara 60 hari kemudian 2 tahun dan 2 tahun seterusnya, seterusnya lagilah...

Saya juga masih kurang faham mantan Ketua Polis Negara (KPN) Tun Hanif Omar bersedia menjadi galang ganti kepada setiap kenyataan mantan PM itu mengenai ISA.  Setiap kali mantan PM itu mengungkit kisah lama yang ‘tak suka ISA’ setiap kali itu jugalah mantan KPN  bersedia mendada di depan  orang tua itu untuk menyelamatkan wibawanya!

Sewaktu Ops Lalang 1987, mantan PM mendakwa menjadi penentang penggunaan ISA. Ya, pantas mantan KPN mengatakan dia yang ‘memandai-mandai’ menangkap 100 orang lebih.  Apabila mantan PM mendakwa pernah mahu menghapuskan ISA, si mantan KPN juga ‘menghulur tengkuknya’. Katanya polis tak setuju.

Maaf, setakat ini saya tak percaya dialog drama ini.  Oh, lupa saya. Kalau ini hanya drama, saya percaya!  Percaya kerna ini hanya sebuah drama yang belum di bawa ke Istana Budaya.  Kalau dipentaskan, saya yakin penuh IB dengan khalayak baru teater ISA.

Khamis, 30 September 2010

ADUH, pendakwa kalah kes dadah RM200 juta!

SAYA tak tahu apa akan jadi jika ditakdirkan suspek pembunuhan Datuk sosilawati dan tiga insan lain dibebaskan daripada tuduhan kerana mahkamah tidak mendapati ada prima facie dalam pendakwaan itu.  Kerana berfikir yang pihak pendakwaan tidak mahu tewas di mahkamah dan kredibilitinya jatuh, fahamlah mengapa proses mengumpul bukti masih berjalan.  Kes ini bukan jalan mudah, tambahan kes ini sudah menjadi sangat sensasi.


Ada kes besar yang dibawa ke mahkamah, yang disangka akan memihak kepada pendakwa kerana rugi besarlah jika kalah, namun hakim membebaskan tertuduh.  29 September 2010 Mahkamah Tinggi Kuantan membebaskan Lee Yong Toe, 48 tahun daripada tuduhan mengedar dadah syabu yang beratnya 753,359 gram bernilai RM200 juta!  Bayangkan nilai dadah RM200 juta, akhirnya mahkamah mendapati pendakwaan tidak ada prima facie. Lepas dan bebas.

Kes kedua di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada hari yang sama,  dua terdakwa wanita warga Iran telah dibebaskan oleh mahkamah daripada dakwaan mengedar dadah jenis syabu yang beratnya 40 kg. Bukan 40 gram, 40 kilogram!  Kes ini pun pendakwaan tidak dapat membuktikan ada prima facie. Lepas dan bebas.

Kedua-dua kes, tertuduh memang didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan membawa hukuman mati.    Dua kes besar telah dimenangi oleh orang yang didakwa mengedar dadah.  Barang bukti iaitu dadah sudah ada, orang yang membawa barang itu pada masa kejadian pun sudah dibawa ke mahkamah, namun itu belum cukup meyakinkan mahkamah bahawa orang itu memang ada niat mengedar dadah.

Rumitnya undang-undang, yang orang awam tidak faham selok-beloknya.  Maka, di negara luar, kerana perasaan keciwa dan pemikiran yang rendah, apabila mereka beranggapan mahkamah dan polis gagal memihak kepadanya, mereka meletakkan undang-undang di tangan sendiri. Janganlah di Malaysia.


Nota: 10 polis didakwa mensabotaj kes pendakwaan dadah RM200 juta itu. http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/1/mstar_berita/20101001194751&sec=mstar_berita