Isnin, 11 April 2011

YANG berkuasa dan yang dikuasai


SESIAPA pun yang berkuasa hari ini, sebenarnya berasal daripada orang yang tidak ada kuasa. Seorang raja atau maharaja sekalipun, asalnya adalah bayi yang lemah, menjadi kanak-kanak dan remaja yang dikuasai oleh orang lain.  Hari demi hari, sejarah perjalanan hidup berlaku dan orang-orang yang dahulunya dikuasai telah berkuasa.  Opps, berkuasa bukan hanya merujuk kepada Perdana Menteri, Ketua Menteri atau Menteri Besar sahaja.


Pengetua atau Guru Besar di sekolah juga ada kuasa dan menguasai banyak orang.  Ketua Kampung pun ada kuasa, hatta seorang anak lelaki sulung pun ada kuasa sebagai ketua waris almarhum ayahanda dan bundanya.

Selalunya, sewaktu masih lemah tidak ada jawatan, tidak ada kuasa kuatlah pemikirannya mengkritik orang-orang yang sedang berkuasa.   Selalalunya juga, orang-orang yang melata melihat orang yang berkuasa sebagai tidak memahami kehendak, pemikiran dan perasaan orang banyak.  Maka di mana-mana juga pasti timbul konflik antara orang yang berkuasa dan yang dikuasai.

Sekarang nampaknya orang yang sedang mempertahankan kuasa di Sarawak dalam tertekan kerana diasak oleh orang-orang yang selama ini dikuasainya.  Apa hendak buat, dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia, setiap lima tahun mesti orang-orang yang dikuasai (rakyat) diberi peluang untuk menentukan sama ada orang yang sedang berkuasa masih perlu diberi kuasa atau diturunkan kuasanya.

Sebenarnya semakin orang yang berkuasa cuba mengukuhkan kuasanya, semakin banyaklah kerenah yang menyusahkan dan menyebabkan orang yang dikuasai marah.  Pengetua, Ketua Kampung, Ketua Menteri atau seorang Maharaja yang garang, pasti didendami oleh banyak orang.  Namun seperti rukun wajib bahawa mana-mana orang yang berkuasa akan mempertahankan kedudukannya walaupun mereka sudah lama merasainya.  Dalam fikirannya, orang lain tidak boleh mengatasi kehebatan dan kebolehannya.  Dalam fikiran orang yang dikuasai,  semakin lama orang itu berkuasa bermakna semakin sombong  dan angkuh.

Oleh itu saksikanlah drama demokrasi pilihan raya yang menyesakkan orang lama berkuasa.  Hari ini Abdul Taib Mahmud sedang  menderita terhimpit diasak oleh rakyatnya.  Akan datang yang akan merasa sebagaimana Ketua Menteri Sarawak hari ini ialah TG Nik Aziz di Kelantan, Abdul Ghani Othman di Johor dan Adnan Yaakob di Pahang. Eloklah mereka bersiap sedia menyediakan kereta perisai untuk menangkis serangan peribadi kerna lama berkuasa!

PENULIS India pun tak faham lagi Interlok?


SEJAK awal isu dan konflik antara segelintir orang India dengan novel Interlok, saya tertanya-tanya di mana salahnya perkataan ‘pariah’ dalam novel itu.  Dalam akhbar Siasah 1-7 April 2011 yang lalu dimuat wawancara pengarang dengan Uthaya Shankar SB yang juga anggota panel bebas membuat penilaian terhadap novel itu.  Untuk pengetahuan Uthaya adalah seorang penulis karya kreatif dalam Bahasa Melayu dan juga Exco Pemuda MIC.

Saya terkejut membaca kenyataan Uthaya dalam Siasah.   Dia asalnya dimaklumkan oleh seorang ibu murid mengenai ‘novel Interlok yang memanggil kaum India sebagai pariah’.  Uthaya kemudian membaca novel edisi pelajar dan beliau mengesahkan apa yang difahami oleh seorang ibu tadi.  Hal ini bermakna Uthaya sama pendapat bahawa penulis novel itu, Abdullah Hussein telah memanggil kaum India dalam novel itu sebagai paria.

Sesiapa pun yang membaca Interlok sama edisi asal dahulu atau edisi pelajar tidak akan menemukan Abdullah Hussein memanggil kaum India sebagai pariah.  Apa yang berlaku ialah, pengarang novel itu menceritakan adat berkasta dalam masyarakat India, yang salah satunya ialah berkasta pariah.  Abdullah menggambarkan betapa gembiranya kaum India yang tiba di Pulau Pinang kerana tidak diikat dengat adat kasta yang ketat. Jika di India mereka yang berkasta pariah tidak boleh menyentuh tangan orang berkasta tinggi sekalipun untuk membayar wang dalam urusan jual beli, di Pulau Pinang mereka tidak terikat dengan adat itu.

Bandingkanlah ayat-ayat yang saya gambarkan di bawah.
Satu:  Kaum India itu bekerja di ladang kelapa.
Dua: Kaum pariah itu bekerja di ladang kelapa.

Bolehkah mereka yang mendakwa Abdullah Hussein menghina kaum India memberikan contoh yang Sasterawan Negara itu telah menulis seperti ayat kedua itu dalam novelnya?

Jumaat, 8 April 2011

KERAJAAN mungkin tunduk, benarkan PPSMI semula?


MEDIA melaporkan YAB Perdana Menteri bersedia memberi pertimbangan untuk mengkaji semula keputusan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana ada permintaan baru.  Sebenarnya bukan mudah kabinet mengambil keputusan untuk memansuhkan PPSMI kerana masalah budaya dan pemikiran rakyat yang pelbagai.  Selalunya para pembuat dasar dan keputusan tinggal di bandar dan daripada golongan berada.  Apabila kerajaan hendak memenuhi kehendak majoriti yang mahukan pemansuhan PPSMI dahulu, terpaksa melalui liku-liku yang panjang, mengalahkan pendesak di bandar-bandar.

Mengapa setelah kerajaan mengambil keputusan muktamad memansuhkan PPSMI, tiba-tiba PM memberi harapan baru kepada penyokong PPSMI?

Sejak akhir-akhir ini banyak pihak membuat tuntutan dan desakan terhadap kerajaan.  Yang menyebabkan penyokong PPSMI membuat tuntutan baru kerana ada beberapa kes tuntutan daripada golongan minority telah ditunaikan sekalipun semua tahu perkara itu rumit dan melibatkan akta serta enakmen-enakmen negeri-negeri.

Lihat tuntutan tidak mengalah kaum India untuk meminda frasa atau istilah dalam novel Interlok.  Sekalipun orang Melayu melihat tuntutan itu lebih kepada tuntutan politik kerana apa yang dibangkitkan tidak sebagaimana yang difahami oleh orang Melayu, tetapi kerajaan memilih untuk bersetuju dengan kaum India.

Lihat juga kes sensitif iaitu pengedaran kitab bible agama Kristian dalam Bahasa Melayu yang sebelum ini kerajaan sangat bertegas untuk tidak membenarkannya.  Sekarang (mungkin dalam suasana kerajaan lemah atau bimbang hilang sokongan politik),  kerajaan Persekutuan memberi lampu hijau yang memihak kepada penganut-penganut kristian, walaupun hal agama (termasuk pengehadan menyebaran agama bukan Islam terhadap penganut Islam) adalah kuasa negeri-negeri.

Oleh itu, satu kesempatan yang baik kepada penyokong PPSMI membuka semula tuntutan supaya subjek Sains dan Matematik diajaran semula dalam bahasa Inggeris.  Pihak ini agak berlembut dengan meminta kelonggaran untuk wilayah tertentu atau untuk golongan tertentu.  Siapa mereka kalau bukan golongan elit yang mementingkan status dan ekonomi.  Mereka bukan perduli apa itu dasar negara dan jati diri.  Jauh sekali mereka mahu memahami masalah penyatuan rakyat dan memperjuangkan hak-hak rakyat desa!

Kita bimbang sangat, dengan keadaan kerajaan yang serba tunduk kepada tuntutan, maka ada keputusan yang memusnahkan pembinaan jati diri negara.

Khamis, 7 April 2011

PASANGAN kekasih mati lemas....


BERITA kematian memang tidak menggembirakan, takziah diucapkan.  Bertambah rasa tidak gembira kerna mereka pergi tak kembali daam keadaan yang tidak disukai oleh agama dan budaya.  Harap-harap (doa) sudahlah di sini saja, menjadi sempadan kepada anak-anak muda, khasnya anak-anak dan kaum keluarga saya.  Semoga Allah memalingkan kami semua daripada melakukan hal-hal yang menjadi kemurkaan-Nya, dan semoga akhir hidup kami dalam ‘sebaik-baik keredaan Allah’.

biarlah haiwan saja yang menikmatinya di tempat awam....
SEREMBAN: Dua pasangan remaja yang berkelah di air terjun Gunung Berembun di sini, Rabu dirempuh 'kepala air' menyebabkan seorang remaja wanita mati lemas manakala pasangan kekasihnya hilang dihanyutkan arus deras itu.
Mayat Khairulhiza Khairul, 18, dari Mambau ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian pada pukul 4.30 petang.
Usaha mencari Mohd Rozane Baddarudin, 19, dari Klang yang dihanyutkan 'kepala air' itu masih diteruskan, kata Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Abu Bakar Katain.
Beliau berkata, pasangan itu bersama dua lagi rakan mereka Mohd Halim Shiddik, 19, dan Nurul Faezah Noor, 19, dari Kuala Kubu Baharu ke kawasan air terjun itu untuk berkelah pada pukul 12 tengah hari.
"Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 3 petang semasa mereka sedang bersiap untuk balik dan berada di tepi tebing.
"Mereka dirempuh oleh kepala air yang datang secara tiba-tiba selepas hujan di kawasan pergunungan itu...air naik dengan tiba-tiba dengan arus yang kuat menyebabkan dua daripada mereka hanyut," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Khairulhiza adalah jurujual di pusat membeli belah Terminal One, di sini manakala tiga lagi remaja terbabit merupakan pelajar Kolej Negeri.
Nurul Faezah berkata mereka datang ke air terjun itu dengan dua buah motosikal
"Kami sedang berkemas dan hujan turun renyai-renyai. Tiba-tiba datang arus sungai yang kuat dan merempuh tebing. Saya sempat menyelamatkan diri dengan berpaut pada kayu," katanya. - BERNAMA

Selasa, 5 April 2011

Pas minta maaf atas kematian Saiful syazani


Banyak orang melihat kerja guru mudah amat.  Persepsi ini terbentuk kerna melihat contoh mudah orang mengajar di masjid atau surau.  Mereka mengajar dan tinggalkan tanpa ada penilaian apa-apa.  Hendak faham atau tidak, itu orang lain punya pasal.  Budak lepasan SPM juga berani memohon untuk menjadi guru sandaran atau guru ganti, apabila ada kekosongan jawatan guru di sekolah.  Main tangkap saja, siapa yang hendak tidak ada kerja.  Sangat tidak profesional, walhal kerjaya keguruan sangat rumit dan besar tanggungjawabnya! - NMS

KANGAR - Pas Perlis memohon maaf kepada rakyat Malaysia ekoran kematian seorang pelajar berusia tujuh tahun dua hari lalu yang dikaitkan dengan tindakan seorang ustaz yang menghukum pelajar terbabit berlaku di Sekolah Rendah Islam Al Furqan kelolaan parti itu di Jejawi dekat sini.

Pesuruhjaya Pas Perlis Hashim Jasin berkata, pihaknya juga memohon maaf kepada kaum guru berhubung peristiwa yang telah mencalar imej dan persepsi umum terhadap warga pendidik.

Saiful Syazani Saiful Sopfidee meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar pada Ahad selepas dipercayai dipukul seorang ustaz yang juga warden asrama sekolah itu pada Khamis ketika sedang menyiasat kes kecurian.

"Kejadian ini sesuatu yang amat memeranjatkan setelah lebih 25 tahun mengelola institusi pendidikan milik parti," katanya selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis hari ini.

Hashim, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sanglang berkata, Pas Perlis berharap proses siasatan dan perbicaraan dilaksana secara rapi dan terperinci bagi menegakkan keadilan kepada semua pihak berkaitan.

Pengerusi Lembaga Tadbir sekolah itu, Rus'sele Eizan berkata, pihaknya telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan semua institusi pendidikan milik parti itu beroperasi dalam suasana pembelajaran yang selamat dan lancar.

Ketua UMNO Bahagian Arau Datuk Seri Shahidan Kassim berharap sekolah agama rakyat seperti itu melantik hanya guru-guru bertauliah bagi mengelak kejadian seumpama itu daripada berulang.

"Setiap guru yang dilantik perlu melalui proses latihan perguruan meskipun mereka memiliki kelayakan akademik yang tinggi," katanya.


USTAZ pun insan biasa

MINTA maaf, saya sebenarnya tidak percaya bahawa seseorang yang mengajarkan agama yang selalu digelar ustaz atau ustazah merupakan insan luar biasa kebaikannya.  Sekalipun golongan ini mengajarkan agama, saya lebih percaya mereka hanya menyamapaikan maklumat agama kepada murid-murid atau khalayaknya.  Pada saya, mereka sama sahaja seperti kaum guru yang mengajarkan sejarah, sains, matematik atau apa juga pelajaran. Persepsi saya bukan hanya kerana kes terbaru seorang ustaz yang dituduh mendera seorang kanak-kanak sehingga mati.

Dahulu memang saya amat menyanjung mereka yang bergelar ustaz atau ustazah.  Namun, secara peribadi saya dikejutkan dengan kaedah pengajaran agama oleh seorang ustaz yang menjurus ke arah kutuk-keji dan mengkafirkan orang lain tanpa sebab!  Situasi ini berlaku pada pertengahan tahun 2006.  Dan, kadang-kadang dengan perilaku seseorang ustaz yang bermuka-muka (sifat munafik) di hadapan orang awam, tetapi menjadi manusia berakhlak buruk di alam siber, saya bertambah jijik-jelek dengan yang saya ketahui secara khusus mereka yang sebegini.

Selepas itu saya mula kritis dan menilai dengan teliti siapakah golongan ini.  Kata-kata mereka dalam kuliah atau ceramah mungkin saya kutip sebagai ilmu.  Namun apabila ada yang berniaga dalam masjid, yang tidak mahu menjawab soalan dengan jujur berdasarkan al-Quran dan sunah, kemudian ada kes-kes seksual terhadap murid-muridnya.....faham sahajalah apa persepsi saya.

Maafkan saya sekali lagi.

Jumaat, 1 April 2011

DULU siapa pukul Anwar? KINI siapa pelakon?


EMMM…, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail mengatakan video lucah itu adalah tulen. Emmm, sekurang-kurangnya tigamamat yang membawa video itu tidak didakwa kerana memiliki video cetak rompak!  Siapa pelakon-pelakonnya? Entah…

Jangan mudah lupa ya mengenai mata lebam Anwar dahulu.  Apabila polis membuat siasatan mengenai kecederaan itu, polis menyatakan: kecederaan itu dalam tanggungjawab polis.  Titik.  Siapa yang memukul Anwar? Entah….

Emmm, macam skrip lama dibaca semula.

Apabila suruhanjaya diraja menyiasat mata lebam, makdatuk…Ketua Polis Negara yang membantai Anwar!  12 tahun kemudian keluarlah kelentong-kelentong dalam pasukan polis mengenai kisah Anwar dihentam. 

Kisah penipu akan pecah juga akhirnya!