Sabtu, 20 November 2010

4.2 juta orang muda tidak mahu mengundi

HUJUNG tahun 2010 begini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberitahu ada 4.2 juta orang muda tidak mendaftar sebagai pengundi.  Dalam rukun politik demokrasi, antara rukunnya ialah pengundi.  Daripada jumlah rakyat yang sepatutnya boleh mengundi sebanyak 15.6 juta orang, 4.2 juta orang (dan pasti akan menjadi 5 juta orang) merupakan peratusan yang besar. Pengundi berdaftar sekarang ialah 11.4 juta orang.


Mengapa orang muda tidak berminat politik?  Jawabannya ada pada drama politik dan aktor-aktornya.  Orang muda sering bertanya: Apa kami akan dapat daripadanya?

Kononnya setelah PRU ke-12, semua ahli politik menjanjikan perubahan cara, pemikiran dan tindakan politik untuk disesuaikan dengan generasi X dan Y!    Seperti biasa, jangan percaya janji-janji ahli politik.  Politik di negara kita menjadi terlalu berdarjat tinggi, yang hanya dihuni oleh para bangsawan yang mengaku berjiwa malaikat. Musuh politiknya pula bertaraf syaitan!.  Isunya juga tidak merakyat.  Orang muda tidak mendapat apa-apa, maka mereka kata: Lantaklah kau politik!

Satu: Drama politik PKR dengan masuk keluarnya ahli politik dalam parti itu, langsung membosankan orang muda.  Tidak ada idealisme apa-apa dalam parti yang dikatakan terbaik untuk memerintah negara. Orang muda kuat idealisme dalam pemikiran dan tindakannya hanya tertawa melihat drama orang-orang tua berpolitik.

Dua: Cara berpolitik lapuk dengan menabur kebencian untuk membedakan antara sesebuah parti politik.  Lihatlah cara Umno mempolitikkan isu orang bukan Islam memasuki masjid  dan Pas yang mengobarkan isu Memali.  Orang muda tidak merasa apa-apa faedah kepada generasinya.

Tiga: Pemimpin politik di negara kita mahu mati dalam jawatan.  Lihat saja Ketua Menteri Sarawak, Menteri Besar Kelantan, watak-watak utama dalam DAP dan pemimpin-pemimpin utama dalam BN.  Barangkali orang muda masih boleh menerima mereka sebagai pemimpin, tetapi corak pemikiran orang-orang tua dalam politik langsung tidak sesuai dengan pemikiran orang muda. 

Yah, jadi untuk apa bersusah-susah mendaftar sebagai pengundi, kemudian berbaris untuk mengundi. Semua itu membuang masa dan tidak berguna.

Ahad, 14 November 2010

FAHAMKAH falsafah kurban haiwan

HARI  Raya Korban.  Menyembelih haiwan ternakan pada hari idul adha merupakan ibadah sunat, bukan wajib.  Jika ibadah haji diwajibkan sekali seumur hidup, ibadah kurban haiwan ini disunatkan sekali sahaja seumur hidup. Jika berkurban haiwan kali kedua dan seterusnya, hukumnya sunat juga.


Di kampung saya ada sebuah rumah yang setiap tahun melaksanakan ibadah menyembelih lembu sebagai kurban saban tahun, maksud saya sekuran-kurangnya dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.  Rumah ini sebenarnya sudah tiada penguhuni kerana pemiliknya seorang guru agama telah lama meninggal dunia.  Semua anaknya tinggal di kota kerna berjawatan tinggi dan pendapatan lumayan.  Rumah itu  terus dikekalkan sebagai kenang-kenangan, dan anak-anak pun jarang balik kampung pada mana-mana hujung minggu atau hari cuti yang agak lama.

Pada Idul Adha itulah anak-anak berpakat membeli beberapa ekor lembu atas nama kurban mereka adik beradik dan anak-anaknya.  Ada kalanya dalam satu musim Idul Adha, sebanyak tujuh ekor lembu dikorbankan.  Orang kampung akan datang dan melapah serta membahagi-bahagikan daging lembu korban itu. Dapatlah orang-orang kampung daging kurban lebih banyak daripada kehendak biasanya membeli daging lembu di pasar!

Yang saya hendak catat ialah pandangan saya terhadap pemahaman mereka mengenai ibadah menyembelih haiwan kurban.  Terus terang saya katakan pemahaman ibadah kurban mereka salah, tidak menepati anjuran Islam yang sebenarnya.  Ketepikan soal ikhlas kerana Allah atau mahu mendapat nama atau untuk menderma daging kepada sanak saudara dan teman di kampung halaman, lupakan seketika.

 Balik kepada hukum antara sunat dan wajib.  Biar 1000 ekor lembu dikurbankan pada idul adha, hukumnya tetap sunat.  Soalnya dengan setiap tahun berkorban lembu (kira-kira RM3000.00 seekor), sudah habiskah hukum wajib untuk dilaksanakan dalam kerangka ibadah yang bentuk sosial?  Ya Allah, masih banyak hamba Allah yang wajib dibantu sama ada untuk keperluan hidup asas mereka seperti rumah, rawatan kesihatan dan pendidikan anak-anak.  Tanyalah kepada ustaz mana pun, soal membantu mereka hukumnya wajib kepada muslim yang berharta atau yang mampu, yang sanggup kurbankan harta untuk membela kehidupan orang lain. Bayangkan RM3000.00 jika dijadikan dana seorang anak miskin untuk pelajarannya setahun, cukup semua keperluan sekolahnya.  Yalah…, Cuma tidak dipandang tinggi oleh masyarakat.  Malah kalau tangan tidak gatal untuk minta wartawan catatkan derma atau tajaan itu, satu Malaya tidak tahu.

Begitulah pemahaman sekular orang kita.  Saya anggap orang agama yang terus berfahaman begitu juga sekular, kerana minda mereka tidak memahami falsafah kurban yang wajib digunapakai dalam sistem masyarakat.  Kalau orang agama masih gagal memahami dan mengguna pakai mana keutamaan untuk dilaksanakan: mahu yang wajib atau sunat? Masih tak faham lagi, saya ucapkan TERUK BETUL KAMU!

Selasa, 2 November 2010

KERJA sendiri vs makan gaji

KAWAN saya seorang mekanik kereta keturunan Tionghua menceritakan kritikannya terhadap satu institusi kerajaan.  Saya kenal dia sebagai orang yang sentiasa bekerja kuat dan punya kesanggupan menolong orang walau tidak ada habuan apa-apa.  Dan kerana itulah dia dihormati dalam kalangan masyarakatnya.  Dia juga sukarelawan bomba daerah Sabak Bernam.

Secara kebetulan dia perlukan khidmat segera untuk kesihatan anak perempuannya.  Sebagai orang yang selalu bekerja keras, apabila berhadapan dengan orang yang bekerja sambil lewa memang perasaan keciwa dan marah tidak dapat disembunyikan.  Jadi dia marah sehingga membuat aduan kepada pihak atasan.  Selepas itu, katanya ada perubahan.  Baguslah, ada pemantau daripada masyarakat.

Secara kebetulan juga, orang yang bekerja sendiri mengkritik orang yang makan gaji.  Secara kebetulan kedua ialah seorang keturunan Tionghua yang memang mempunyai reputasi kerja kuat mengkritik cara kerja kaum Pribumi.  Ini bukan konflik perkauman, tetapi kritik profesionalisme.  Kalau saya di tempat mekanik itu pun, pasti saya panas di dada.

Moralnya ialah: Orang makan gaji agak selekeh kerjanya berbanding orang yang kerja sendiri.  Mungkin keterlaluan dikata begitu tetapi ada kecenderungannya.  Sedia maklum, sama ada bekerja keras atau selekeh, pada akhir bulan begitulah jumlah gajinya.  Dalam keadaan jumlah pekerja yang banyak dan pengurusan tidak mampu memberikan ganjaran-ganjaran tersendiri untuk mengiktiraf kecemerlangannya, akhirnya banyak yang bekerja sekadar untuk mencukupkan tempoh masa.

Si mekanik juga seorang sukarelawan bomba, ertinya sanggup bekerja lain yang tidak pun menambah pandapatannya.  Agaknya kerana itu dia mempunyai kekuatan untuk mengkritik orang lain yang dipandangnya malas, sedangkan orang itu mendapat gaji.  Maka, jika orang yang bekerja makan gaji hendak merasa apa erti bekerja dalam keadaan ikhlas yang tidak dijanjikan habuan wang ringgit, sila memasuki ruang kerja sukarela secara berdisiplin!

Ahad, 24 Oktober 2010

DUNIA dongeng Melayu

TIADA siapa yang mahu sakit, dan jika takdir menentukan kena sakit maka sesiapa juga mahu cepat sembuh.  Kerana mahu cepat sembuh ini pelbagai cara digunakan orang, prinsipnya “sembuhkan aku daripada penyakit ini”.  Saya pun pernah ditimpa sakit yang tidak ketahui jenisnya. Dalam tempoh 3 jam saja seluruh badan menjadi sakit dan hanya mampu berkata-kata. Di hospital, doktor pun tidak memberitahu sakit apa, cuma dipantau selama dua hari dalam wad.  Selama dua hari itu beberapa orang mencadangkan agar berubat di luar hospital.  Entah, waktu itu saya tak menangkap apa maksudnya, cuma akur semua nasihat doktor. 

 foto hiasan

Dalam tasawur orang Melayu, banyak tafsirannya jika ditimpa sakit apa lagi jika doktor tidak dapat mengesan apa sakitnya.  Ada saudara saya kemalangan jalan raya, yang doktor sahkan tulang kakinya patah dan dimasukkan dalam wad, sebagian ahli keluarganya masih percaya ada rawatan lebih cepat dan baik di luar hospital, maksudnya bukan perubatan moden.

Ada kes lain, berita kemalangan di jalan sunyi yang bahaya ditafsir sebagai adanya gangguan makhluk halus. Yang menafsir begitu bukanlah mekanik kereta tetapi seorang guru agama.  Jadi begitulah, berapa banyak kemalangan dan kesakitan tidak sunyi daripada disorot sudut kedua, iaitu alam misteri.

Perkataan ‘buatan orang’ sangat mudah difahami oleh orang Melayu. Dari kanak-kanak, orang Melayu sudah diajar untuk menafsir adanya tangan ghaib yang mengakibatkan masalah dan kecelakaan seseorang.  ‘Buatan orang’ kemudian dikaitkan dengan ‘sakit hati’ dan ‘dendam’.  Sekalipun tidak ada satu kes dapat dibuktikan hal ‘buatan orang kerana dendam’ namun permintaan orang ramai untuk menerima berita itu cukup tinggi pasarannya.  Keadaan ini menyebabkan orang yang dikatakan bomoh dapat hidup dalam dunia moden yang sebagian besarnya dibuktikan dengan fakta dan hujah.

Saya juga ada pengalaman rumah dipecah pencuri.  Selain membuat laporan polis, biasalah saya dicadang untuk mendapatkan ‘orang’ yang boleh melihat di mana barang-barang yang dicuri.  Walaupun cadangan ini lahir daripada orang yang saya anggap kuat agamanya, saya abaikan juga. Pada saya, apa bomoh boleh buat? Cakap saja, selain itu tidak apa-apa.  Katalah dia memberitahu yang barang curiannya ada dalam sebuah rumah bernombor sekian-sekian,  dia bukan ada kuasa untuk membuat serbuan. Itu semua kuasa polis. Polis pun bukan boleh main serbu saja, ada yang perlu dapatkan waran mahkamah!

Begitulah, selagi kuat pemikiran dongeng dalam masyarakat Melayu, selama itulah pasaran cerita dongeng laku dan menjadi satu pilihan dalam hidup.  Belajar ilmu undang-undang, kedoktoran, berfikiran saintifik dan macam-macam ilmu, rupa-rupanya tidak menjamin seseorang berfikiran rasional.  Ikatan terhadap tradisi desa sangat kuat.  Orang desa punya tasawur sendiri, dan kebanyakan mereka adalah orang yang berpengaruh dalam kehidupan.  Merekalah yang banyak mencorak pemikiran dongeng terhadap generasi komputer dan satelit canggih.

Ada keberanian untuk berubah?

Sabtu, 23 Oktober 2010

MENDAGANGKAN agama demi pengaruh politik

PADA bulan Ramadan lepas, Umno menyerang Pas atas isu orang bukan Islam memasuki masjid.  Media massa digunakan sepenuhnya tanpa segan silu apa-apa.  Yang penting dapat mempengaruhi masyarakat tentang ‘kesalahan besar’ Pas.  Kini giliran Pas menghentam Umno atas isu festival fesyen Islam yang dinaungi oleh isteri Perdana Menteri.  Terdapat foto yang membuktikan festival itu memperagakan kalimah ‘Muhammad’ dengan pelbagai sudut, suatu hal yang tidak dapat diterima oleh umat Islam.  Oleh kerana Pas tidak mempunyai media arus perdana, maka media utama mereka ialah internet dan demontrasi!

Inikah caranya umat Islam menjalani kehidupan dengan harapan diredai Tuhan?  Pandangan mata kasar pun, keadaan ini memalukan.  Bertambah malu kepada orang bukan Islam yang selama ini dikatakan kepada mereka bahawa Islam adalah agama yang membawa kesejahteraan kepada semua.  Islam dikatakan sebagai penyelamat. Islam disebut agama yang mengajar penganutnya sangat bertoleransi.  Islam yang dijaja kepada orang bukan Islam sebagai membawa mesej kedamaian dan ketenangan.

Tenang? Damai? Sejahtera? Tambah lagi…jujur? Tulus? Jangan jual apa-apa lagilah atas nama Islam kalau sebenarnya semua tidak jujur untuk membawa Islam dan memberi contoh yang baik kepada orang awam dan golongan bukan Islam.

Apa yang berlaku ini (mungkin akan datang banyak lagi), merupakan contoh Islam didagangkan, dipolitikkan dan ditunggangi oleh orang-orang politik tak mengira Umno atau Pas.

Isu orang bukan Islam masuk masjid, kalau yang melakukannya ialah kerabat Barisan Nasional, tidak akan dijadikan isu besar berhari-hari dalam media.  Umno akan simpan baik-baik.  Kerana yang melakukannya Pas, maka digempur habis-habisan atas nama Islam. Konon Umno lebih Islam, mewakili golongan orang beriman.

Isu fesyen pakaian mencolok mata ‘menghina nama nabi’ tidak akan dijadikan isu untuk membakar semangat orang jika yang melakukannya ialah anggota PKR atau DAP.  Jika ahli dua parti itu yang melakukannya, Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) hanya akan menulis dalam blog atau menegur dalam sidang media.  Kerana yang melakukannya ialah pihak Umno, maka Pas tidak bertangguh lagi untuk mengobarkan semangat menghukum Umno-BN. Konon Pas lebih beriman daripada Umno.

Tanyalah kepada kedua-dua pihak, adakah itu caranya umat Islam saling tegur-menegur yang disebut dalam surah al-Asr?  Jika cara mengutuk, membakar semangat orang dan berdemo dianggap sebaik-baik jalan di sisi Allah, izikan saja anak-anak yang berbeda pendapat dengan ibu bapanya untuk membuat bangkangan terbuka dan caci maki!

Jangan marah, jangan melatah, jangan apa-apa lagi. Gilakah semua ahli politik muslim selepas solat setiap waktu? Masa solat saja bagus……

Selasa, 19 Oktober 2010

BACALAH dalam bahasa orang muda

APAKAH cara paling mudah untuk memahami seseorang atau sesebuah masyarakat? Jawabnya hanya satu, bahasanya.  Berbicaralah dengan bahasa orang yang hendak difahami, kita akan temui maklumat yang dicari-cari.

 foto hiasan

Bahasa adalah serlahan budaya.  Bahasa turut berkembang bersama berkembangnya budaya sesebuah masyarakat.  Kalau mahu mendalami kehidupan kaum Cina, kuasailah dahulu bahasa Cina untuk memudahkan bergaul dengan mereka.  Bergaul dengan mereka untuk apa tujuan pun termasuk urusan ekonomi dan dakwah.

Penjajah British dahulu cekap memahami situasi di alam Melayu kerana para pegawainya faham bahasa dan tulisan Melayu.  Semua surat perjanjian dengan raja-raja Melayu dibuat dalam tulisan jawi dan bahasa Melayu.  Akhirnya satu masyarakat Melayu tunduk kepada kuasa dan budaya British.

Dalam masyarakat Melayu, kerap didengar keluhan wujud jurang antara remaja dan orang dewasa.  Malah dalam sebuah rumah, jurang juga wujud antara anak dan ibu bapa.  Puncanya orang dewasa tidak cuba memahami bahasa anak muda.  Jangan pula kita menyoal dan menyalahkan anak muda yang tidak mahu berbahasa orang dewasa.  Anak muda tidak perdulikan bahasa orang dewasa, mereka tidak rugi apa-apa.

Cuba perhatikan bahasa SMS dan facebook anak-anak muda. 

wat per sbok2 ngan keje org, jg dri sndri la beb…”
“helo bro…, slh org la ko nih.”
“gler abizz…”

Orang muda atau remaja memang mempunyai lingkungan budayanya sendiri, dan mahu bebas daripada norma biasa yang dipegang oleh orang dewasa.  Maka, untuk mengetahui resam dan nurani orang muda, pihak dewasa mestilah merendah diri dan menukar watak menjadi remaja juga. Dengan penyamaran ini barulah anak muda atau remaja dapat melayan diri kita dengan sebaiknya.  Dengan penerimaan ini, dapatlah kita memahami resam dan pemikiran dan cita-cita mereka.

Orang muda memang masih diikat dengan adat iaitu menghormati orang tua. Oleh itu jika orang dewasa memahami cetusan rasa anak muda, orang dewasa dapat meluruskan pemikiran dan cita-cita anak muda.  Cara ini bukan setelah memahami laras bahasa SMS mereka lalu menjadikan mereka berfikir secara dewasa, tidak.  Orang dewasa kena juga menggunakan laras bahasa orang muda untuk meluruskan citra mereka.

Kalau hendak mengajak mereka solat sunat, tidak berkesan dengan menggunakan terjemahn hadis secara harfiah. Cuba gunakan laras bahasa facebook mereka: “bro, cntik moto ko ada byk stikerr… gilerr pe? solat sunat pun mau kasi cntik ngan Tuhan.”   Orang dewasa boleh mengajaknya: “xde hal pnya kan3x…”

Masuklah SMS dan Facebook mereka dengan gaya mereka, banyaklah sambutannya…

Sabtu, 16 Oktober 2010

"MAS, berapa kali kubilang: Aku cinta kamu!"

APABILA saya membuka bicara soal cinta dan rindu dalam Facebook, cepat rakan-rakan lama saya bertanya mengapa mengubah tajuk. Maksudnya selama ini saya suka bab politik dan agama.  Melalui respon rakan-rakan tahulah bahawa topik yang berpangkalkan perasaan memang menjadi pilihan semua peringkat.  Pelajar-pelajar saya menyerbu memberi komen, termasuk juga kawan lama yang berpengalaman bab cinta ini.  Tatapi tidaklah dapat mengalahkan karektor Haji Bakhil dalam filem Nasib Labu Labi.


Daripada catatan yang tersimpan dalam kotak-kotak respon memang menyenangkan.  Kebanyakan tidak bersembunyi menyatakan fikirannya mengenai cinta. Ya, cinta itu terbitan perasaan, tetapi melayannya mesti menggunakan fikiran.

Pertama: Perasaan cinta antara lelaki dan perempuan memang sentiasa ada sejak kita remaja hingga tua.  Lelaki yang berusia lebih 50 tahun pun masih melihat pasangan cintanya terhadap wanita yang jauh lebih muda.  Ini bermakna, standard perasaan cinta lelaki terhadap wanita sama.  Maksudnya, berapa usia lelaki pun keinginan cintanya terhadap wanita tidak menurun. Mungkin betul juga remaja lelaki yang berusia 15 tahun merasa seronok melihat wanita cantik berusia 20an.

Kedua: Wanita masih gagal membuktikan berkurangnya kasih sayang seorang lelaki apabila lelaki berkenaan mempunyai lebih seorang isteri. Ayat yang kerap digunakan ialah: Tidak mahu berkongsi kasih sayang! Saya menguji sama ada kasih sebagai ibu dan ayah akan berkurang terhadap anak pertama apabila lahir anak kedua dan ketiga.  Anda boleh menjawabnya sendiri, berapa orang pun anak kita, kasih tidak berkurang terhadap anak-anak yang terdahulu. Inilah hebatnya kasih sayang.

Ketiga: Remaja memang seronok dibelai cinta dan rindu.  Ayat yang biasa digunakan ialah: hari ini sangat bahagia. Maksudnya kehendak perasaan cintanya dipenuhi oleh pasangannya.  Tentulah mereka suka mendapat kata-kata indah dalam kotak SMSnya. Baginya itulah saat dunia menjadi syurga.

Keempat: teori saya yang belum dibantah ialah: Cinta antara pasangan akan membara selama mana rahsia antara pasangan belum diketahui sepenuhnya. Maksud saya, cinta indah antara pasangan ialah perlunya unsur suspense atau berteka teki. Semakin banyak rahsia telah diketahui, semakin kurang kehangatan cinta.  Anda boleh berfikir seketika, mengapa orang yang sudah berkahwin tidak begitu romantik seperti sebelum kahwin.  Semasa sebelum kahwin, melihat seliparnya di tepi jalan pun menjadi pintu bahagia.  Setelah berkahwin segala baik dan buruk sudah di hadapan mata, susah hendak membedakan intan dan pasir.  Semuanya bergaul dalam sebuah rumah.  Jika ada masalah selain hal cinta, mudah saja menyusutkan perasaan cinta antara pasangan.

Kelima: Impian cinta adalah seks. Itu saya pinjam daripada Prof Dr Hamka. 

Seronokkan bicara soal cinta. Daripada itu fahamlah mengapa segala macam filem dan drama kita bertunjangkan cinta lelaki dan perempuan. Latar cerita mungkin hantu jembalang atau kereta-kereta mewah, namun plotnya adalah cinta, apa juga perangai cinta. Banyak, macam-macamlah….