Khamis, 23 September 2010

UNTUK apa berdebat?

APABILA berlaku perbedaan pendapat, maka berlakulah penghujahan untuk membela pendirian yang dipegang.  Penghujahan ini akan berlaku dalam medium muzakarah dan debat.  Muzakarah tampak lebih lunak dengan ada konsep sumbang-saran, yang para ahlinya punya sifat lapang dada.  Dalam muzakaran, kemungkinan perselisihan yang membawa keretakan hubungan social, agak kecil.

Debat tampak kasar, penghujahan untuk membela habis-habisan pendirian yang dijaga.  Orang yang mahu berdebat adalah orang yang akalnya licik dan pantas membuat tafsiran dan keputusan.  Orang selama ini hanya bersuara satu hala atau ceramah di hadapan khalayak dan tidak berani menerima soalan lisan, jauh ketinggalan sebagai karektor pendebat.  Orang ini hanya berani di belakang dan akan pucat apabila disoal secara depan-depan.


Dalam menjalankan debat ilmiah, saya ingat kaedah yang ditulis oleh penyanyi yang juga seorang peguam iaitu almarhum Sudirman Hj Arshad.  Menurut beliau, apabila pihak lawan telah menyampaikan hujahnya,  sebagai pemidato debat selepasnya mesti terus membidas atau membunuh semua hujah apabila diberi ruang berdebat.  Katakan pihak pencadang mengatakan  perlunya pekerja asing dalam pembangunan negara, maka sebagai pembangkang wajib mematikan hujah itu dengan segera dan menjadikan hujah lawan itu sebagai hujah yang sangat meragukan!  Setelah selesai ‘mencincang’ hujah lawan, barulah pendebat ini memberikan hujah yang menyokong pendiriannya terhadap isu yang diperjuangkan.

Ada seseorang bergelar ustaz yang suka menghantar emel kepada saya dan menyebarkan fahamannya.  Sambil mendakwa pemahaman saya salah, dia menjual pemahamannya pula. Tentulah saya mempertahankan pendirian saya dan membidas pula pendiriannya.  Betul, bukan dongeng…, semua bidasan saya terhadap pemahamannya tidak satu pun dapat dijernihkannya semula.  Kemudian dia mengajak saya berdebat. Dia mengajak debat ini betul-betul dongeng.  Dongeng sebab dia tak tahu apa-apa mengenai konsep debat dan penghujahan. 

Rabu, 22 September 2010

MENGAPA mahu menulis?

MENGAPA menulis?  Pertanyaan ini betul untuk saya, kerana saya memang suka menulis. Kepada yang suka bercakap, soalannya ialah: Mengapa bercakap?

Semua orang mempunyai sebab tersendiri untuk ‘membenarkan’ tindakan yang dilakukannya, sama ada betul atau salah ada pertimbangan lain.  Menulis bagi saya kerana ada perkara yang saya mahu sampaikan kepada sesiapa saja, yang tidak mampu saya sampaikan dengan kata-kata.  Orang kecil yang tidak ada nama dalam persada khalayak, tidak mungkin diundang untuk memberikan ceramah atau pidato.  Jika di kampungnya pun sudah tidak diberi peluang menyampaikan idea dan fikiran, janganlah berharap mendapat tempat di lokasi lain.


Pilihan yang ada dalam dunia komunikasi tanpa batas ialah menulis.  Orang bercakap, jika ucapannya tidak dirakam dan didengar semula, kira habis di situ sahaja. Menulis lebih berdisiplin dan bertanggung jawab berbanding bercakap. Bahan tulisan yang kekal akan terus dibaca oleh mereka yang mahu membacanya.

Satu wacana tulisan dalam blog ini mungkin satu ucapan dalam majlis di sebuah balai raya kampung paling jauh dari kota.  Jika ucapan itu hanya dihadiri oleh 10 orang, maka sekadar itu sajalah yang mendengarnya.  Selepas sesi ucapan itu, semua pulang dan hilanglah semua isi ucapan selama 15 minit itu. Ini kebiasaan budaya sastera lisan sejak dulu. Orang kita, bukan ada tradisi mencatat ucapan.

Satu wacana dalam blog akan dibuka bukan untuk sehari, malah selama blog masih boleh dibuka dan tidak ada gangguan apa-apa.  Ini bererti sesuatu tulisan (daripada ucapan 15 minit di kampung itu) terbuka untuk dibaca oleh semua manusia dalam jagat raya.  Semakin lama dan jika isunya sangat relevan, wacananya boleh dibaca hingga seribu kali termasuk oleh orang-orang besar yang membuat dasar dan keputusan penting dalam sebuah negara.

Kita ambil contoh satu manusia bernama Haji Sulaiman Jambul yang sama usia (lahir dan wafat) dengan Prof Dr Hamka.  Arwah Haji Sulaiman Jambul hanya diingat dan dikenal oleh keluarganya sebagai anggota keluarga.  Kemungkinan besar cicitnya pun tidak mengatahui apa pemikirannya.  Akhirnya setelah lima generasi, semua lupa nama Haji Sulaiman Jambul.  Bagi Prof Dr Hamka, sekalipun sudah wafat, namanya harum kerana pusaka pemikirannya dalam bentuk tulisan kekal.  Membaca mana-mana buku Prof Dr Hamka, seolah-olah sedang berhadapan dengan ulama itu yang berceramah. Tulisan kekal prof Dr Hamka akan menyebabkan manusia itu seperti hidup hingga seribu tahun lagi.

Maka, menulislah kerana ada peluang dan kesempatan.

Selasa, 21 September 2010

BERITA ialah 'orang menggigit anjing'

SEORANG kolumnis dalam sebuah portal berita mencatat beberapa pengalaman indah diberi bantuan secara sukarela oleh insan-insan berhati mulia dalam beberapa hari saja.  Baginya inilah antara keindahan dalam hidup apabila dirinya yang tidak mengenali insan yang membantunya, tetapi mereka dengan susah payah membantunya!  Beliau juga mencadangkan agar membanyakkan cerita-cerita keindahan dalam hidup seperti sikap saling tolong-menolong, berkorban untuk kebaikan orang lain atau gambaran suasana ceria dan bahagia dalam media.


demontrasi menjadi berita utama

Apa yang dicatat oleh kolumnis itu betul, tapi tidak kepada pengamal media yang mencari jutaan pembaca.  Peristiwa ada nilai beritanya tersendiri. Melalui nilai berita ini, pasaran medianya menjulang tinggi.  Kepada yang pernah terlibat dalam kewartawanan mesti telah diajar mengenali berita yang boleh menjadi tarikan pembaca.  Analoginya mudah: anjing yang menggigit orang bukan berita tetapi orang menggigit anjing adalah berita.

Berita-berita orang memberi senyuman, mengucapkan salam, membantu seseorang di tepi jalan merupakan berita anjing menggigit orang yang dianggap tidak ada pembacanya lagi. Itu berita basi, kata mereka.  Oleh itu berita kemalangan ngeri, pembunuhan ngeri, penculikan, pembuangan bayi, pemerkosaan dan lain-lain yang mengejutkan adalah berita, sama seperti orang menggigit anjing.

Dengan itu difahami bahawa kebanyakan berita di muka hadapan akhbar ialah orang menggigit anjing!  Kalau ada yang bersifat anjing menggigit orang, berita itu lahir daripada orang penting dalam negara seperti Perdana Menteri.

Itulah prinsip pemberitaan dalam media yang hari-hari kita hadapi. Fitrah manusia sendiri yang mudah bosan dengan perkara-perkara berulang, tambahan jika yang tidak menyentap emosi.  Kerana memenuhi parasan emosi khalayak, maka berita-berita yang dipaparkan adalah yang membakar emosi, bukan yang menyantuhi minda dan emosi. 

Masalah lain pula muncul apabila saban hari dipaparkan berita-berita yang menyentap emosi, sebagai manusia akan terpengaruh juga dengan pembawaan berita.  Kajian-kajian psikologi terhadap perkembangan tingkah laku anak-anak atau remaja sangat dipengaruhi oleh sekitaran termasuk maklumat dariada media.  Oleh kerana media sangat mencuri pandangan dan minda anak-anak dan remaja, berita atau maklumat media telah jauh membina peribadi manusia.

Jangan kagetlah jika nilai murni yang ibu bapa ajarkan kepada anak-anak susah diamalkan, kerana perkara itu kurang menyentap emosi dan bagai berita anjing menggigit orang.  Hendak membaca al-Quran pun sudah bosan kerana itulah saja susunan ayatnya ya?  Hendak memahami kandungan al-Quran pun sudah kerap sangat, begitu sajalah ceritanya.  Cerita nabi Musa dengan Fir’aun dalam al-quran  tidak pernah berubah, kecuali cara kita mengambil iktibarnya.

Bab-bab agama memang dirasakan membosankan, tidak menyentap perasaan kecuali para guru yang mengajarkan dan menyampaikannya membuat teknik-tekni baru yang menyegarkan.